Proton X90 tembusi pasaran Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei

Anwar (tengah) ketika melancarkan Proton X90 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Anwar (tengah) ketika melancarkan Proton X90 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
A
A
A

KENDERAAN tenaga baharu (NEV) pertama Proton Holdings Bhd, X90 mencatat kemunculan pertama di tiga pasaran eksport iaitu Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei, baru-baru ini.

Usaha membabitkan X90 yang juga kenderaan utiliti sukan (SUV) itu adalah sejajar dengan komitmen Proton meluaskan jangkauan di luar Malaysia selain menjadikan sasaran pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa antara tonggak utama matlamat jangka panjangnya.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata, Mauritius menjadi pasaran eksport pertama bagi SUV keluarga premium dan moden itu yang diperkenalkan di Le Salon de L' Automobile, SVICC, Pailles pada 4 Ogos lepas.

"Ini diikuti dengan Afrika Selatan pada Festival Permotoran Litar Grand Prix Kyalami pada 25-27 Ogos. Acara itu mendapat sokongan padu Kementerian Luar Malaysia dan dihadiri oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Yap Wei Sin.

"Selain itu, pada masa sama, Proton Brunei memperkenalkan Proton X90 di majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah dan Pengerusi Pengimport dan Pengedar Proton, Pad dan Econ Motors, Tan Kah Boon,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu menyifatkan 2023 sebagai tahun mencabar bagi perniagaan eksport berikutan kebanyakan pasaran eksport berdepan cabaran ekonomi dan mengakibatkan kawalan ketat dari segi pasaran modal.

"Bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain tetap diteruskan dengan kerja-kerja awal sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago serta Iraq.

"Kami juga kekal fokus untuk mengembangkan lagi kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran Proton X90 dalam tiga pasaran eksport itu misalnya berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Steven berkata, perkembangan itu membantu meningkatkan imej jenama Proton dan dilihat sebagai pelaburan untuk memanfaatkan keadaan pasaran lebih baik di masa akan datang. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!