Mangsa banjir nyaris lemas terjatuh bot

Limpahan air sungai yang masih bertakung di Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar, Baling pada Jumaat. (Gambar kecil: Siti Aisyah)
Limpahan air sungai yang masih bertakung di Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar, Baling pada Jumaat. (Gambar kecil: Siti Aisyah)
A
A
A

BALING - Banjir yang melanda Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar pada Khamis disifatkan paling buruk selepas tragedi kepala air Kampung Iboi, 4 Julai tahun lalu.

Seorang mangsa banjir, Siti Aisyah Mat Sabri, 23, berkata, dia nyaris lemas selepas terjatuh dari bot ketika proses perpindahan dilakukan.

Menurutnya, ketika itu mereka dalam keadaan cemas berikutan air Sungai Tawar yang berjarak lebih kurang 100 meter dari rumah, naik mendadak sekitar jam 11 malam.

Bagaimanapun katanya, tindakan pantas suami, Mohd Isa Hashim, 33, berjaya menyelamatkan dirinya yang terjatuh dalam arus deras sebelum berjaya dinaikkan semula ke dalam bot seterusnya dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Islahiyah kira-kira jam 12 tengah malam.

"Rasa macam 'mati' nyawa, gelap dah dunia. Walaupun suami orangnya kecil, namun kekuatan dia berjaya tarik dan selamatkan saya.

"Mujur masa itu saya tidak dukung dua anak lelaki berusia 15 bulan dan empat tahun, kalau terjatuh sekali saya tidak tahu bagaimana nasib kami," katanya.

Siti Aisyah yang ditemui di PPS melahirkan rasa syukur dipanjangkan umur selain dapat berteduh, walaupun rumahnya yang dinaiki air setinggi kira-kira dua meter belum lagi surut pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Siti Aisyah (kiri) dikunjungi Kanselor Jabatan Kebajikan Masyarakat semasa ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah Tawar pada Jumaat.
Siti Aisyah (kiri) dikunjungi Kanselor Jabatan Kebajikan Masyarakat semasa ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah Tawar pada Jumaat.

"Sekarang ini apa yang dirisaukan ialah keadaan rumah yang belum dicuci. Kereta walaupun dah tolak ke tempat tinggi, tetap kena air serta perkakasan elektrik yang kena lumpur. Bagaimana kehidupan selepas ini, nak pulih semula mengambil masa, seperti kejadian tahun lalu," katanya.

Siti Aisyah antara 91 mangsa daripada 31 keluarga yang ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah setelah rumah mereka dinaiki air sejak Khamis.

Bagaimanapun, kebanyakan mangsa sudah kembali ke kampung bagi membersihkan rumah masing-masing setelah cuaca kembali cerah pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, sebuah lagi PPS di Masjid Binjul Luar telah dibuka pada Khamis bagi menempatkan 11 mangsa daripada dua keluarga yang terjejas.

Shamsudin (kanan) melawat Mohd Isa yang ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah Tawar, Baling.
Shamsudin (kanan) melawat Mohd Isa yang ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah Tawar, Baling.

Menurutnya, walaupun kebanyakan mangsa telah pulang ke rumah masing-masing, namun PPS di kedua-dua lokasi masih dibuka sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.

"Memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dengan jangkaan hujan turun pada petang ini sehingga malam, setakat ini masih ada tiga buah rumah dinaiki air, saya nasihatkan semua agar sentiasa mengawasi keselamatan diri dan ahli keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Jelas Shamsudin, pemantauan tetap dijalankan dan anggota bertugas masih ditempatkan di PPS yang bersedia berhadapan sebarang kemungkinan.

Media pada Julai tahun lalu melaporkan kejadian kepala air di Kampung Iboi, Mukim Kupang, yang berjarak kira-kira 13 kilometer dari Tawar telah mengorbankan nyawa tiga beranak yang hanyut bersama rumah mereka.

Kejadian turut menyebabkan ribuan mangsa terjejas akibat rumah mereka ditenggelami air termasuk di Mukim Tawar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!