Hukum solat tarawih bersendirian
SOLAT tarawih semacam jadi satu kemestian dilakukan walaupun, hukumnya hanyalah sunat muakkad.
Kebanyakan orang tidak mahu melepaskan untuk mengerjakan amalan iti dalam bulan Ramadan ini.
Lazimnya, kita akan solat di surau atau masjid secara berjemaah.
Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak berkesempatan ke surau atau masjid untuk menunaikan solat tarawih? Bolehkah kita solat secara sendirian di rumah?
Menjawab kepada persoalan itu, asal solat tarawih ialah solat qiamullail yang dikerjakan pada waktu malam.
Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat itu dua rakaat dengan salam, dua rakaat dengan salam dan seterusnya. Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ menyatakan, boleh solat terawih sama ada secara berjemaah atau bersendirian.
Beliau menyatakan lagi, para ulama berbeza pendapat berkenaan solat terawih dikerjakan sama ada secara berjemaah atau sendirian lebih utama?
Imam Syafie, Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal dan sebahagian Malikiyyah menyatakan, berjemaah lebih utama berdasarkan perbuatan Saidina Umar al-Khattab.
Sementara itu, Imam Malik, Abu Yusuf dan sebahagian Syafieyyah berpandangan afdal dikerjakan sendirian berdasarkan hujah solat sunat dilakukan di rumah melainkan solat fardu sahaja dilakukan berjemaah.
Secara asasnya, berjemaah adalah lebih utama. Akan tetapi bagi mereka yang bekerja syif atau ada tujuan tertentu tidak dapat berjemaah, maka, dia tetap boleh mendirikan solat tarawih bersendirian dan meraih pahala yang banyak di bulan Ramadan ini.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!