'Bodyguard' diberkas menyamar anggota polis, tunjuk pistol

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Tindakan seorang pengawal peribadi menyamar sebagai anggota polis sambil menunjukkan sepucuk pistol semata-mata mahu menemui teman wanitanya membawa padah apabila dia diberkas di kawasan perumahan di Bandar Sungai Long dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan polis diterima kira-kira jam 7.11 petang daripada seorang individu yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan perumahan terbabit.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika suspek ingin memasuki kawasan perumahan berkenaan untuk menemui teman wanitanya.

"Pengawal keselamatan terbabit meminta pengenalan diri suspek untuk didaftarkan sebagai pelawat, namun suspek enggan memberikan kerjasama dan kemudiannya memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Suspek berang setelah mangsa tidak mempercayainya kemudian bertindak menunjukkan sepucuk pistol yang terselit di pinggang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, selain itu suspek turut bertindak memarahi dan mengugut mangsa ketika kejadian.

"Mangsa yang takut kemudiannya membenarkan suspek masuk ke dalam kawasan perumahan terbabit," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 IPD Kajang.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati suspek yang berumur 26 tahun itu bukan seorang anggota polis sebaliknya bekerja sebagai pengawal peribadi dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan.

"Turut dirampas adalah sepucuk pistol bersama 10 butir peluru hidup," katanya.

Ujar Mohd Zaid, siasatan mendapati suspek memiliki surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata dan peluru yang dikeluarkan untuk tujuan penugasan dengan syarikat kawalan keselamatan.

"Suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing saspek adalah negatif.

"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 506/170 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!