'Biarlah sijil ini jadi tanda kenangan, cinta arwah kepada kami'
SHAH ALAM - "Kami tetap hadir, biarlah sijil ini menjadi tanda sebuah kenangan dan cinta arwah kepada kami."
Demikian kata Mohd Suhairy Hashim, 46, bapa kepada Allahyarham Muhammad Danial yang meninggal dunia akibat kemalangan Januari lalu.
Mohd Suhairy dan isteri, Azlina Musa sebelum itu mengundang sebak hadirin lain ketika tampil menerima skrol Sijil Servis Kenderaan Ringan mewakili arwah anaknya pada Sidang ke-7 Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Skrol berkenaan disampaikan oleh Dekan Malaysia Japan International Institute Of Technology, Universiti Teknologi Malaysia merangkap Ahli Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil/ Diploma Politeknik, Profesor Dr Ali Selamat.
Allahyarham Muhammad Danial antara 916 graduan Kolej Komuniti dari Zon Kedah dan Perlis menerima diploma dan sijil masing-masing pada Sidang ke-7 majlis konvokesyen tersebut meliputi pelbagai bidang pengajian
Sementara itu, Azlina yang juga ibu kepada Allahyarham Muhammad Danial berkata, arwah anaknya amat meminati bidang automotif.
Menurut Azlina, arwah anaknya juga bercita-cita untuk bekerja di syarikat automatif utama di negara ini setelah tamat pengajian di Kolej Komuniti Bandar Darulaman.
"Arwah telah merancang untuk sambung pengajian di peringkat lebih tinggi, namun arwah pergi dahulu sebelum menerima skrol sijilnya ini.
"Kami reda, skrol inilah peninggalan kejayaan terakhir arwah untuk kami jadikan kenangan," jelasnya yang berasal dari Changlun, Kedah.
Menceritakan lebih lanjut kemalangan yang menimpa anaknya, Azlina berkata, kejadian berlaku ketika arwah keluar bersama rakannya sebelum dilanggar lori berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun.
Tambahnya, motosikal yang ditunggang arwah merupakan hadiah yang diberikannya sempena hari jadi arwah.
"Tiada sebarang perkara pelik ditunjukkan arwah semasa kami berjumpa sehari sebelum kejadian terjadi. Mungkin ini takdir kami, kami reda," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!