[VIDEO] Ambil alih UMW Holding: Sime Darby jamin kepentingan bumiputera

A
A
A

PETALING JAYA - Sime Darby Berhad (Sime Darby) memberi jaminan kepentingan golongan bumiputera kekal utuh dalam ekosistem vendor serta pembekal untuk jenama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Toyota selepas mengambil alih UMW Holdings Berhad (UMW Holdings).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, jaminan tersebut berikutan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kekal sebagai pemegang saham penting Sime Darby.

"Dari segi penyertaan ekuiti, kepentingan Bumiputera kekal utuh sekali gus memastikan penyertaannya ada di sepanjang rantaian nilai.

"Sebagai entiti tempatan, Sime Darby sentiasa menyokong pertumbuhan dan pembangunan bakat tempatan, mempunyai ramai rakyat Malaysia dalam pelbagai jawatan kepimpinan di seluruh organisasi," katanya kepada Sinar Harian.

Jeffri Salim - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Jeffri Salim - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sebelum ini, Sime Darby dilapor mengambil alih saham PNB dalam UMW Holdings sebanyak 61.2 peratus sebagai usaha meningkatkan penguasaan bahagian pasarannya dalam industri automotif Malaysia menerusi jenama Perodua dan Toyota.

Dalam pada itu, Jeffri Salim menyifatkan pengambilalihan saham sebagai tindakan sesuai dan berharap akan selesai pada November nanti.

“Syarikat menjangkakan pembelian 100 peratus saham UMW Holdings dapat dilaksanakan pada akhir Februari 2024.

Artikel Berkaitan:

“Ada beberapa syarat seperti mendapatkan kelulusan daripada rakan kongsi lain seperti (antaranya) Toyota dan BMW, masih dalam proses (pelaksanaan) namun yang penting adalah kelulusan pemegang saham. Kita akan adakan EGM (mesyuarat agung luar biasa) pada 16 November nanti,” ujarnya.

Mengikut terma perjanjian, Sime Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan sebanyak RM3.57 bilion atau RM5 setiap saham.

Sebagai rekod, Sime Darby dan UMW Holdings merupakan sebahagian daripada kumpulan Syarikat Strategik PNB.

PNB yang menguruskan lebih RM300 bilion aset merupakan pemegang saham terbesar dalam Sime Darby dan memegang 60.6 peratus saham UMW Holdings.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!