Indahnya bersaudara atas nama Islam

Mulia manusia bila menjunjung Islam, kembalikan semula paksi hidup beragama

DIDIKLAH anak seawal usia dengan penuh hikmah dan cinta agar kelak mereka turut menghargai insan di sekeliling. -Foto: 123rf/ Gambar kecil: Dr Mohd Sukki Othman
DIDIKLAH anak seawal usia dengan penuh hikmah dan cinta agar kelak mereka turut menghargai insan di sekeliling. -Foto: 123rf/ Gambar kecil: Dr Mohd Sukki Othman
A
A
A

RAKYAT Malaysia memang secara tradisinya adalah masyarakat yang amat menitikberatkan persaudaraan dan kasih sayang antara satu sama lain. Hal itu telah dibuktikan melalui amalan kerjasama dan gotong-royong yang terpupuk sejak sekian lama.

Sehubungan itu, sekiranya diimbas dalam kehidupan masyarakat Malaysia pada zaman lampau, maka unsur-unsur seperti gotong-royong amat terserlah dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan.

Kerjasama dan gotong-royong dijalinkan ketika berlangsungnya kenduri kahwin, pembinaan surau, membersihkan persekitaran kampung dan sebagainya. Sesuatu yang sudah diterima dan diamalkan dalam kalangan masyarakat ialah ‘muafakat membawa berkat’.

Bukan sekadar itu, malah di atas dasar kasih sayang dan persaudaraan juga membawa kepada sifat prihatin kepada orang lain. Maka, tidak hairanlah apabila seseorang itu boleh menegur anak jiran yang dilihat melakukan perkara salah atau bercanggah dengan nilai budaya masyarakat dan pegangan agama.

Menganggap anak jiran sebagai anak sendiri menjadi perkara yang boleh diterima dalam masyarakat. Semua itu datangnya daripada kasih sayang yang terjalin dalam masyarakat ketika itu.

Ingatan Jibril

Sebenarnya persaudaraan dan kasih sayang seumpama itu memang sudah sedia maklum dituntut untuk dilaksanakan menurut ajaran Islam.

Bahkan, mengenai persoalan jiran, Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang sahih telah menyatakan bahawa: “Jibril sentiasa mengingatiku tentang jiran sehingga aku menyangka bahawa mereka boleh mewarisi harta pusaka.”

Artikel Berkaitan:

Hadis itu menunjukkan betapa akrabnya hubungan yang wajib dijalinkan dengan jiran. Begitu juga nilai kasih sayang terpapar melalui hadis baginda yang bermaksud: ”Tidak sempurna iman seseorang apabila tidur dalam keadaan kekenyangan sedangkan jiran berada dalam kelaparan sedang ia mengetahuinya.”

Di samping itu, Rasulullah juga mengaitkan nilai kasih sayang dengan unsur penting yang boleh melahirkan keimanan kepada ALLAH SWT. Seterusnya dengan unsur keimanan tersebut akan memudahkan laluan memperoleh syurga ALLAH.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak boleh masuk syurga selagi kamu tidak beriman dan kamu tidak dianggap beriman selagi tidak berkasih sayang sesama kamu.”

Dari sini, jelaslah betapa nilai persaudaraan, kasih sayang dan prihatin sesama masyarakat yang terbina sejak sekian lama merupakan hasil ajaran Islam yang suci murni.

Persaudaraan yang kian terhakis

Namun, sesuatu yang amat menyedihkan yang berlaku mutakhir ini ialah nilai kasih sayang dan persaudaraan yang terjalin dalam kalangan masyarakat Malaysia kian pudar serta terhakis.

Hal itu berikutan pengaruh kebendaan, pentingkan diri sendiri dan pelbagai lagi aspek negatif kian menular dalam masyarakat, yang bukan sahaja menghakis budaya masyarakat, bahkan mencemarkan nilai ajaran Islam yang murni.

Apa tidaknya, sesetengah orang dalam masyarakat pada hari ini sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan dan survival ‘perut’, ‘nafsu’ serta ‘material’ semata-mata. Justeru, nilai kasih sayang dan persaudaraan kian dilontar jauh-jauh.

Nabi Muhammad SAW telah mengaitkan sikap tersebut dengan penyakit yang dinamakan ‘wahan’ iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘benci kepada kematian’.

AMALAN gotong-royong masih hidup dalam kalangan masyarakat desa. Semoga semangatnya akan terus kekal. -Foto: 123rf
AMALAN gotong-royong masih hidup dalam kalangan masyarakat desa. Semoga semangatnya akan terus kekal. -Foto: 123rf

Dalam konteks masyarakat hari ini, seseorang tidak lagi boleh menegur anak jirannya yang melakukan maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat. Konsep ‘anak aku adalah anak aku’ dan ‘anak kamu adalah anak kamu’ kian menjadi-jadi.

Lalu dengan alasan ‘jangan jaga tepi kain orang’, maka segala apa yang dilakukan langsung tidak boleh ditegur, sebaliknya sekiranya dinasihati akan keluarlah kemarahan dan seumpamanya. Bukan sekadar itu sahaja, ada yang menyatakan ‘kubur masing-masing, tak perlu ambil tahu apa yang aku buat’.

Kepentingan perut semata-mata

Sikap sebegini sudah tentu menjejaskan nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam masyarakat. Sebaliknya, ia hanya akan mewujudkan permusuhan dan kebencian.

Aktiviti dalam masyarakat juga kian terhakis terutama dari sudut nilai kerjasama dan gotong royong. Sebagai contoh, semakin tidak wujud konsep tolong-menolong dan bantu-membantu dalam aktiviti kenduri.

Amalan mendirikan khemah bersama, menyusun kerusi, masak beramai-ramai, ‘bentara’ yang bertugas pada hari kenduri pun kian pupus. Semuanya kini bergantung kepada katering. Ya, memang ia lebih memudahkan tetapi mengakibatkan terhakisnya nilai gotong-royong dan kerjasama dalam masyarakat.

Dalam peringkat politik pula, sesuatu yang amat memalukan terjadi apabila berlakunya perebutan jawatan yang begitu ketara dalam parti politik Melayu. Jawatan bukan lagi dianggap sebagai amanah, tetapi ia direbut untuk mendapatkannya. Mengapa beria-ia sangat mendapatkan jawatan? Tak lain dan tak bukan kerana dengan kepentingan ‘perut’ dan peribadi semata-mata.

Sehubungan dengan itu, ‘politik wang’ (rasuah) diamalkan dengan berleluasa untuk merebut jawatan.

Akhirnya timbullah permusuhan dan seumpamanya yang sudah tentu menghancurkan semangat persaudaraan serta kasih sayang.

Perbuatan seumpama itu jelas dilaknat dan dikutuk oleh ALLAH SWT sebagaimana Nabi Muhammad SAW yang bersabda mafhumnya: “Pemberi rasuah dan penerimanya di dalam neraka.”

Untuk merealisasikan masyarakat madani di Malaysia, maka jalan terbaik untuk mengatasi segala masalah dan kemelut yang berlaku ialah dengan kembali menghayati serta mempraktikkan ajaran Islam secara keseluruhannya.

Bahkan, masyarakat akan kembali hebat daripada segala segi apabila berpandukan kepada ajaran Islam yang sangat menitikberatkan persaudaraan dan kasih sayang.

Dalam hal itu, Saidina Umar al-Khattab telah menyatakan: ‘Kita suatu bangsa yang dimuliakan oleh ALLAH apabila berpegang dengan ajaran Islam akan tetapi sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain daripada ajaran Islam, ALLAH akan menghina kita.”

***Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman ialah Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan I’jaz al-Quran Fakuti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!