Minat haiwan eksotik, bapa pelawak Ajak Shiro buka zoo mini
KLUANG - Bermula dengan hobi dan minat terhadap haiwan eksotik, bapa kepada pelawak Ajak Shiro memberanikan diri membuka Zoo Pameran Bergerak (ZPB) dalam majlis dan program yang diadakan sekitar daerah ini pada 2016.
Pemilik nama Razak Paon, 63, itu bermula dengan Razak Mini Zoo (RMZ) Petting Land dengan mengambil bahagian dalam majlis sambutan hari jadi, majlis perkahwinan dan ekspo selain menyertai program-program kerajaan atau swasta termasuk di sekolah.
Bapa kepada lapan anak dan menetap di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin itu kemudian nekad membuka RMZ di Gunung Lambak Resort di sini pada 2019 dengan permulaan hanya mempunyai beberapa spesies burung dan ular.
"RMZ kini sudah dibesarkan dan beroperasi di atas kawasan seluas 0.4 hektar di resort berkenaan. Zoo mini ini dapat dibesarkan selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi datang melawat sebelum ini dan bertanya sama ada boleh buat besar lagi.
"Kemudian pihak resort menyediakan kawasan seperti yang ada sekarang ini. Kini terdapat 43 jenis haiwan antaranya angsa Mesir, ayam Brahma, ayam Belanda, ayam serama, emu,merak biru, kambing, kuang emas, arnab, marmot, kambing pygmy Nigeria dan kura-kura sulcata.
"Terdapat juga iguana, beard dragon, selfin dragon, gecko, katak pac-man, ular sawa bola, ular sawa albino, ular sawa ratic albino, ular jagung, British short hair; ayam bantam perak, ayam bantam emas dan landak.
"Begitu juga ada pelbagai jenis burung seperti macaw bersayap hijau, macaw biru dan emas serta melly Amazon. Terbaharu RMZ ada keldai jantan dan tidak lama lagi akan ada mute swan (angsa tidak bersuara) dan rusa," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Razak berkata, pembukaan RMZ itu selain mendatangkan pendapatan sampingan, ia juga memberikan kelainan kepada pengunjung kerana dapat melihat dengan lebih dekat, dapat berinteraksi dengan sebahagian haiwan tersebut termasuk memberinya makan dan berswafoto.
Beliau berkata, RMZ beroperasi dari jam 9.30 pagi sehingga 6.30 petang pada Khamis sehingga Ahad termasuk cuti umum manakala dibuka setiap hari semasa cuti sekolah.
Katanya, tiket pula untuk dewasa dikenakan RM9, kanak-kanak dan warga emas (RM6) sementara orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai kad OKU adalah percuma.
Sehingga kini katanya, RMZ dikunjungi oleh pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah tadika, rendah dan menengah dari seluruh negara dan luar negara antaranya Singapura, Jepun serta Perancis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!