Murid OKU diberi pendedahan lebih luas dalam seni visual
Potensi dan bakat sebenar golongan istimewa itu diasah melalui projek eko pelancongan tempatan
Selaras dengan matlamat tersebut, Pulih Art Studio yang merupakan rakan pelaksana projek Pelancongan Lestari oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP - Malaysia, Singapura dan Brunei) yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan (MOF) menganjurkan Kelas Seni Visual yang bertemakan Memperkasa Inklusiviti Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam Eko-Pelancongan Melalui Seni Visual.
“Terdapat tiga komponen kelas seni visual ini iaitu seni lukis, seni kolaj dan seni diorama. Penganjuran ini sangat bermakna bagi saya kerana murid OKU mempunyai banyak potensi diri, namun mereka kurang diberi peluang dan ruang untuk mempamerkan bakat masing-masing.
"Projek yang julung kali diadakan di daerah ini berlangsung dari September 2023 hingga Mei 2024. Ia melibatkan 100 murid OKU dari 10 sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Daerah Manjung yang meliputi 10 siri lawatan sambil belajar dan 10 siri kelas seni visual.
"Kelas seni visual ini mendapat kerjasama Laman Karya Lumut (LAKAR), disokong oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan PORT Ipoh di bawah Dana Kreatif Perak@PORT 2022,” jelas Pengasas Pulih Art Studio yang juga Ketua Projek, Salwana Sawi.
Selain itu, ujar Salwana, ia juga dapat membangunkan produk dan perkhidmatan eko-pelancongan perintis untuk replikasi selanjutnya di kawasan lain.
Jelas beliau lagi, projek yang bersifat serampang dua mata ini menggabungkan elemen eko-pelancongan dan seni visual dengan dua sasaran utama iaitu lawatan sambil belajar di tiga buah lokasi eko-pelancongan dan tiga kategori seni visual.
"Penganjuran ini mendapat kelulusan dan kebenaran oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan seorang pegawai Pendidikan Khas Daerah Manjung, Norazmila Ali turut hadir dalam program ini.
"Siri pertama telah berlangsung pada 14 September lalu melibatkan 10 murid OKU, dua guru dan seorang pembantu murid PPKI dari Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Manjung," katanya.
Ujar beliau, murid terpilih menyertai program ini berumur antara enam hingga 12 tahun dalam kategori OKU Autisme (lima orang), Slow Learner (dua orang), Diskleksia (seorang), Kurang Upaya Intelektual (seorang) dan masalah pendengaran (seorang).
Melukis penyu menggunakan akrilik
Salwanan menjelaskan, bagi sesi eko-pelancongan, para peserta dibawa melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari.
Katanya, Mereka didedahkan tentang jenis-jenis penyu, aktiviti-aktiviti konservasi, kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan penyu yang dijalankan di pusat tersebut.
"Usai sesi lawatan tersebut, para peserta dibawa ke Pulih Art Studio bagi menjayakan Kelas Seni Akrilik. Dalam kelas ini, saya mengajar para peserta teknik memilih dan memegang berus lukisan dengan betul, mewarna dan teknik melukis penyu dengan mudah.
“Dalam kelas ini, murid OKU diajar untuk memegang berus lukisan dengan betul agar mereka dapat menguatkan otot-otot jari masing-masing. Bagi kelas seni kolaj pokok Bakau pula, para peserta akan dilatih untuk menggunting dan menampal kertas. Aktiviti seperti ini dapat mengasah kemahiran motor halus (fine motor skills) mereka," katanya.
Gabungan aktiviti pko-pelancongan dan seni visual beri manfaat
Untuk rekod, tiga sasaran lokasi eko-pelancongan di daerah Manjung yang terlibat dalam program ini ialah Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (Segari), Taman Paya Bakau Bandar (Lumut) dan Bukit Tiga Ratus (Teluk Batik).
Fokus utama projek ini bukan saja mengangkat seni visual dan eko-pelancongan sebagai terapi kepada murid OKU tetapi turut menjadi titik permulaan dalam menjadikan daerah Manjung sebagai Pusat Kesihatan Pelancongan (Health Tourism Centre).
Setiap projek dimulakan dengan sesi lawatan sambil belajar ke lokasi eko-pelancongan. Para pelajar bukan saja dapat meningkatkan pengetahuan tentang alam sekitar dan eko-pelancongan tetapi dalam masa dapat memperbaiki lagi sensori murid OKU antaranya sensori keseimbangan (vestibular sensory) mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!