‘Muhyiddin mungkin hilang peranan pemimpin tertinggi dalam PN’ - Salleh
SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkemungkinan hilang peranannya sebagai pemimpin tertinggi dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Bekas Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Abdul Hadi tidak boleh dipersalahkan dalam hal tersebut memandangkan rekod Tun Mahathir dalam politik begitu memberangsangkan.
“Kita tidak boleh menyalahkan Abdul Hadi dalam memilih Tun Mahathir kerana rekod politik Tun Mahathir jauh lebih mengagumkan,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Jumaat.
Pada 3 September, seramai empat Menteri Besar daripada PN mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di kediaman beliau.
Mereka ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ditemani Abdul Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam pada itu, ujar Salleh Said, tindakan Ahli Parlimen Marang itu jelas kerana ingin mengekalkan momentum ‘gelombang hijau’ kini semakin meningkat, pada masa yang sama terus meraih manfaatnya.
“Sebab itu Perdana Menteri ke-10 betul-betul tidak menganggap Muhyiddin sebagai ancaman yang serius. Hadi berazam untuk mengekalkan apa yang Pas perolehi semasa pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
“Betapa teruknya Muhyiddin akan menerima perkembangan tersebut, kita tidak tahu tetapi kita semua tahu betapa tingginya cita-cita beliau dari segi politik. Beliau tidak mungkin berdiam diri,” ujarnya.
Selain itu, menurut Salleh, terdapat kemungkinan bahawa Muhyiddin mungkin akan meneroka dan mempertimbangkan pilihan-pilihan politik yang lain ekoran tindakan Abdul Hadi itu.
Jelasnya, sama seperti Tun Mahathir, Muhyiddin percaya bahawa tiada musuh kekal dalam politik.
“Beliau masih Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dia harus bergantung pada dirinya sendiri untuk menjaga kepentingan dan cita-cita politiknya.
“Perkembangan politik itu mungkin dilihat sama ada sebagai ancaman atau peluang politik oleh kumpulan pemikir dalam Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!