Tun M dakwa kebebasan bersuara kini terhad
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kebebasan bersuara di negara ini kini hanya terhad kepada yang menyokong kerajaan.
Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM) itu berkata, keadaan itu bercanggah dengan kemahuan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pembangkang sebelum ini.
"Di masa ini, kenyataan yang benar dari segi sejarah dianggap oleh media cetak sebagai hasutan. Dengan larangan 3R (agama, raja dan kaum), mulut rakyat tertutup.
"Dahulu semasa Perdana Menteri berada di luar kerajaan, laungan reformasi dijerit-jerit. Antara reformasi yang dituntut ialah kebebasan bersuara dan kebebasan media cetak," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.
Pada 29 Jun lalu, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan pentadbiran Anwar menyekat kebebasan suara media.
Dakwa beliau, ia susulan dua portal berita iaitu MalaysiaNow dan Malaysia Today tidak boleh diakses kerana disyaki telah disekat.
Bagaimanapun, media sehari sebelum itu melaporkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengesahkan tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk menyekat mana-mana portal berita di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil menjelaskan, beliau mengambil maklum sebuah laporan portal berita yang melaporkan senario ‘misteri’ tidak dapat diakses sepenuhnya oleh pengguna internet.
Sebelum ini juga, kerajaan memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang cuba bertindak melampau dengan memainkan isu 3R.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pihak terbabit yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar Perlembagaan, tidak lagi boleh dibiarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!