Smart Stream tambah stesen minyak di luar bandar
KUANTAN - Lebih banyak stesen minyak mini akan dibuka dan ditambah secara berperingkat di kawasan pedalaman khususnya kawasan Felda.
Inisiatif ini dilaksanakan syarikat pembekal minyak dan diesel, Smart Stream Resources Sdn Bhd (Smart Stream) yang turut menjalinkan kerjasama dengan Petronas.
Pengarah Urusannya, Mohd Khairuddin Saimon berkata, penambahan jumlah stesen minyak mini itu adalah antara pelan jangka panjang syarikat berkenaan dalam mengukuhkan lagi jenama Smart Stream dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, ini juga merupakan alternatif pihaknya dalam menjadikan stesen minyak jenama Smart Stream setaraf dengan stesen minyak yang berada di kawasan bandar.
"Buat masa ini kita sudah mengendalikan 75 stesen minyak mini dan hari ini kita memulakan operasi secara rasmi di Felda Sungai Panching Selatan menjadikan ia stesen ke 76 dimiliki Smart Stream di seluruh negara dan stesen ke 27 di Pahang.
"Untuk pelan jangka panjang, kita menyasarkan 100 stesen minyak mini dibuka dan diuruskan Smart Stream di seluruh negara menjelang hujung tahun depan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Stesen Minyak Mini Smart Stream di Felda Sungai Panching Selatan, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Mohd Suffian Mohd Abass.
Pada majlis itu, Smart Stream mengadakan program isian minyak percuma kepada pemilik motosikal di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit sempena bulan Ramadan.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama dengan Petronas, Mohd Khairuddin berkata, kerjasama yang dilakukan sejak Disember lalu bagi memastikan kestabilan bekalan petrol dan diesel untuk melancarkan operasi stesen minyak mini dikendalikan pihaknya.
"Kerjasama ini juga adalah untuk memantapkan lagi jenama kami dan kita sedang melakukan penjenamaan semula Smart Stream secara berperingkat, termasuk melengkapkan stesen kami dengan sistem yang membolehkan pelanggan menggunakan Kad Mesra Petronad apabila berurusan di stesen kami.
"Dengan cara ini kita dapat memberi kemudahan pemegang kad Mesra yang dapat menambah mata mereka jika mereka mengisi minyak di Smart Stream
"Selain itu, kita juga akan meningkatkan lagi kemudahan di semua stesen kendalian Smart Stream bagi memberikan keselesaan kepada pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!