Naik taraf Jalan B23 selesai isu kesesakan, banjir kilat

Amirudin (tengah) merasmikan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan B23 Jalan Sungai Tua dan Kampung Bendahara, Gombak pada Jumaat.
Amirudin (tengah) merasmikan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan B23 Jalan Sungai Tua dan Kampung Bendahara, Gombak pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - Naik taraf Jalan B23 babitkan Jalan Sungai Tua dan persimpangan Kampung Bendahara bukan hanya mengatasi isu kesesakan tetapi turut menyelesaikan banjir kilat di sana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia selepas Jabatan Kerja Jaya (JKR) mengambil kira spesifikasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan melibatkan sistem saliran yang perlu dinaik taraf.

Menurutnya, projek yang bermula pada 2018 itu siap lewat iaitu April lalu susulan penularan pandemik Covid-19.

"Naik taraf ini bukan hanya selesaikan masalah jalan tapi juga saliran kerana disertakan dengan naik taraf anak Sungai Udang.

"Sebelum ini kerap banjir di susur masuk ke Tanah Gantian Sungai Tua, dengan adanya projek ini yang disediakan kemudahan dan perabot jalan maka isu tersebut dapat diselesaikan," katanya pada Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan B23 Jalan Sungai Tua dan Kampung Bendahara di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah JKR Selangor, Ir Lokman Nasir dan Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz.

Projek bernilai RM25.5 juta itu membabitkan pelebaran jalan dari satu ke dua lorong bagi dua hala sepanjang satu kilometer.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa membaiki dan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi menyelesaikan isu setempat yang kadangkala mengambil masa untuk diatasi.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pembentangan libat urus Bajet 2024 semalam (Khamis), saya turut sentuh isu jalan melibatkan penyelenggaran dan pengurusan Marris selain isu banjir dan perumahan.

"Kita tidak boleh selesa dengan status negeri maju semata-semata, sebaliknya perlu letak sasaran tingkatkan kualiti perkhidmatan serta infrastruktur," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!