Pekedai terpaksa lelong beras akibat banjir di Baling
BALING - Seorang pemilik kedai runcit di Kampung Charuk Akar, Mukim Tawar dekat sini terpaksa melelong beras dengan harga RM10 berikutan terjejas akibat banjir yang melanda kampung itu sejak Khamis.
Muhamad Amirul Hafis, 30, berkata, hujan lebat seharian hingga ke malam menyebabkan air Sungai Tawar yang terletak berhampiran kedai melimpah masuk ke dalam kedainya.
"Inilah pertama kali air sungai melimpah masuk ke dalam kedai, sebelum ini tak pernah berlaku dan tak sangka sebab masa kejadian saya tiada di kedai.
"Habis semua barang jualan seperti beras, gula, telur, tepung, garam, barangan elektronik dan sebagainya yang berada di lantai basah dan rosak, pagi tadi saya terpaksa lelong," katanya.
Menurutnya, sebanyak 10 kampit beras seberat lima kilogram dijual dengan harga RM10 sahaja manakala yang rosak teruk dilelong lebih murah untuk dijadikan makanan ternakan.
"Sebanyak 50 bungkus gula pasir satu kilogram pula terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan selepas tercemar dengan air sungai yang keruh," katanya.
Tambahnya, keadaan cuaca yang tidak menentu membolehkannya berjaga-jaga bagi mengelakkan lebih banyak barang runcit yang rosak.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kejadian banjir kilat pada Khamis membolehkan dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Mukim Tawar dibuka.
Ia membabitkan kesemua 102 mangsa dari 33 keluarga telah ditempatkan di PPS Masjid Islahiyah Tawar (91 mangsa dari 31 keluarga) dan Masjid Binjul Luar (11 mangsa dari dua keluarga).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!