Demi ibu, Khai Bahar tolak tawaran lakonan
PENYANYI dan pelakon, Khai Bahar mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran drama dan filem kerana keadaan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan.
Jelas Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, lakonan memerlukan komitmen dan masa yang lebih panjang berbanding nyanyian.
Justeru, dia bimbang seandainya tidak dapat memberi komitmen terhadap tawaran yang datang kerana perlu pulang ke Perlis lebih kerap.
“Banyak juga tawaran yang saya terpaksa tolak tahun ini. Biasanya saya akan jelaskan pada pihak produksi kenapa saya tolak. Antara drama yang saya terpaksa tolak adalah Kerana Cinta Itu Ada yang dibintangi Nabila Razali bersama Aedy Ashraf. Sepatutnya saya bergandingan dengan Nabila.
“Saya bimbang bila tengah shooting mak masuk hospital. Selalunya bila dapat tahu mak masuk hospital, saya akan terus pulang ke Perlis.
“Lagipun berlakon ini ada jadual dan libatkan ramai orang. Jadi saya tak nak susahkan banyak pihak seandainya saya ada kecemasan dan kemudian tak boleh teruskan penggambaran,” katanya.
Khai berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duet terbaharunya bersama Adira Suhaimi yang berjudul Pejam di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pejam, lagu duet yang dinyanyikan bersama Adira adalah ciptaan sepenuhnya Audi Mok dan Shazee serta diterbitkan Nova Music.
Berkongsi keadaan ibunya, Rosnah Muhammad, 62, Khai berkata, ibunya kini perlu menjalani dialisis kerana menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir dan terbaharu turut disahkan mempunyai masalah jantung.
Ujarnya, ibunya kini dijaga abang, kakak dan adik di kampung halaman.
“Penyakit buah pinggang ini buat mak lemah dan ada ketikanya hilang daya ingatan. Memang sedih lihat mak begitu sebab dulunya kalau saya pulang ke kampung, mak akan masak pelbagai jenis lauk.
“Awal dulu memang berat nak terima, tapi lama-kelamaan, kami sudah terima dan sekarang kami cuma mahu gembirakan mak serta ikut apa yang dia mahu,” jelasnya.
Untuk rekod, pada 13 September lalu, Rosnah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur selepas sesak nafas. Ibu Khai itu juga sudah lama menderita penyakit buah pinggang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!