'Saya tak jual buah, boleh datang kutip sendiri'
TUMPAT - Dokong, duku dan langsat yang berbuah lebat pada musimnya ketika ini memberi peluang seorang kontraktor berkongsi rezeki buah itu di dua tanah kebunnya seluas 0.2 hektar di Taman Sri Kebakat, Wakaf Bharu di sini.
Mohd Basir Mohd Isa, 49, memberikan buah-buahan tersebut kepada sesiapa sahaja dan dibenarkan untuk mengambil seberapa banyak yang diingini.
Kata bapa tiga anak itu, kawasan tersebut sebenarnya kebun durian yang dibeli pada tahun 2000 dan turut terdapat banyak pohon dokong, duku serta langsat di dalam kebun terbabit.
“Ada yang sudah tebang untuk menerangi kebun dan masih terdapat lebih 20 pohon menghasilkan buah yang lebat seperti tahun ini.
“Sama ada durian, dokong, duku atau langsat ini, saya tidak pernah jual tetapi hanya disedekahkan kepada saudara-mara, orang yang dikenali atau tidak dikenali sejak dulu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Ujar Mohd Basir, musim buah-buahan itu biasanya bermula pada Julai hingga Oktober pada setiap tahun dan apabila memasuki musim, para kenalan akan menghubunginya jika mahu menikmati buah-buahan tersebut.
Menurutnya, selain kenalan yang sudah mengetahuinya, beliau juga akan membuat pemberitahuan secara umum di kumpulan-kumpulan WhatsApp untuk mereka yang tidak mengenalinya.
“Orang Siam pun ada yang datang ambil buah untuk dijual dan walaupun saya tolak kerana memang berniat untuk bersedekah, tetapi mereka tetap menghulurkan sejumlah wang.
“Sesiapa yang nak, boleh datang panjat pokok setinggi 20 hingga 30 meter dan kutip sendiri.
"Kalau tidak, nanti buah itu akan terbiar, luruh serta rosak juga kerana tidak ada orang datang ambil walaupun sudah diuar-uarkan percuma,” kata Mohd Basir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!