PRK DUN Pelangai bermula hari ini
BENTONG - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bermula hari ini dengan pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini akan dibuka pada jam 9 pagi nanti.
Semua calon mempunyai tempoh sejam hingga jam 10 pagi ini untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober, manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.
Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik jam 11.59 malam, 6 Oktober depan.
Rabu lepas, Barisan Nasional (BN) menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, sebagai calon bertanding di kerusi DUN itu, manakala Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, bakal mewakili Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, dijangka turut bertanding pada PRK tersebut.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Nazian Zainal Abidin, keadaan cuaca di Pelangai diramal cerah pada sebelah pagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!