Peluang TSG cipta kejutan awal
TAMPIL beraksi di laman sendiri, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) bertekad mencipta kejutan dalam dua peringkat awal perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bermula pagi ini.
Tumpuan sudah pasti terarah kepada tiga pelumba tempatan TSG diketuai Harrif Saleh, Muhammad Nur Aiman Zariff dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang tampak memiliki kelebihan mencipta impak awal.
Malah, Harrif yang membuat penampilan kali ke-14 di pentas LTdL 2023 - rekod baharu dalam perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia itu menjadi 'senjata' terbaik TSG menawan Pantai Timur.
“Siapa yang tidak mahu menang di sini (Terengganu). Sebelum ini, saya menang di luar Terengganu, jadi saya harap dapat meraih sesuatu di negeri kelahiran sendiri.
“Kita lihat bagaimana perlumbaan tahun ini akan berlangsung. Sekarang ini pasukan saya juga bertambah bagus termasuk (prestasi) Youcef Regugui, Jeroen Meijers selain Jambaljamts Sainbayar.
“Saya akan cuba untuk melakukan sesuatu, kita lihat bagaimana perlumbaan itu berlangsung nanti,” kata Harrif yang juga antara pelumba terbaik negara dalam sejarah LTdL.
Untuk rekod, Harrif kini mengumpul tiga kejuaraan peringkat perlumbaan iaitu pada edisi 2019 (Peringkat 2 dari Senawang, Negeri Sembilan ke Dataran Pahlawan, Bandaraya Melaka.
Dua lagi gelaran juara dimenangi iaitu pada edisi 2020 (Peringkat 5 dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Ipoh, Perak dan Peringkat 7 dari Bagan, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah).
Harrif hampir menyambar podium di Terengganu apabila menduduki tangga keempat pada Peringkat 10 LTdL 2012 bermula dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu.
Harrif atau lebih mesra disapa Mamat kemudiannya menduduki tempat keenam pada Peringkat 4 LTdL 2015 dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu.
Sementara itu, Nur Aiman - pemenang Jersi Merah (Raja Bukit) 2020 dan 2022 turut mengintai peluang menghadiahkan kejayaan buat penyokong tuan rumah.
"Sudah tentu apabila berlumba di negeri sendiri, kita lebih bersemangat. Bagi Aiman sendiri, kalau boleh memang mahu memburu kemenangan pada Peringkat 1 nanti.
"Tekanan itu tetap ada, tetapi saya akan tetap meletakkan sasaran untuk menghasilkan kejayaan apabila berlumba di 'kampung sendiri'," kata Nur Aiman.
Kelibat Nur Amirull juga tidak boleh dipandang sepi sekalipun tumpuan lebih banyak terarah kepada kelibat Harrif dan Nur Aiman.
Nur Amirul tetap hadir dengan reputasi tinggi pada LTdL kali ini selepas memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei lalu.
Peringkat 1 LTdL 2023 bermula dari Kerteh ke Kuala Terengganu meliputi jarak keseluruhan 187.4 kilometer (km) sebelum Peringkat 2 diteruskan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2km pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!