Malaysia bukan sekadar pelengkap

Barisan pelumba Malaysia secara rasmi diperkenalkan pada Majlis Pengenalan Pasukan LTdL 2023 di Dataran Panaromik, Kuala Terengganu - Foto: Bernama
Barisan pelumba Malaysia secara rasmi diperkenalkan pada Majlis Pengenalan Pasukan LTdL 2023 di Dataran Panaromik, Kuala Terengganu - Foto: Bernama
A
A
A

SKUAD kebangsaan Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia - Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 membuka tirai secara rasmi pagi ini.

Di sebalik kehadiran beberapa pasukan ternama termasuk pasukan profesional benua tempatan - Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), barisan pelumba Malaysia tetap memiliki aura tersendiri.

Biarpun rata-ratanya dibarisi muka baharu termasuk empat bekas pelumba pasukan Sapura Cycling (TSC), kehadiran skuad kebangsaan Malaysia kali ini bukan sekadar pelengkap.

Malah, skuad yang dibimbing ketua jurulatih, Mohd Yusof Nasir itu bertekad tampil lebih kompetitif, sekali gus mengintai peluang menyambar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.

Malaysia akan diketuai Muhamad Zawawi Azman, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Shaiful Adlan Shukri yang bersama TSC beberapa tahun sebelum ini.

Malah, Izzat Hilmi Abdul Halil yang juga pernah menyarung jersi TSC selain pelumba muda meningkat naik, Zulhelmi Zainal bakal memperkasakan lagi pasukan kebangsaan Malaysia.

Dianggap memiliki barisan pelumba terkuat, Mohd Yusof percaya anak-anak buahnya mampu menghadiahkan sesuatu yang positif pada LTdL yang memasuki edisi ke-27 tahun ini

“Saya meletakkan harapan tinggi kepada Zawawi untuk dia memimpin pasukan ini. Zawawi dan Nur Aiman disandarkan untuk memburu Jersi Putih.

Artikel Berkaitan:

“Izzat dan Zulhelmi pula akan menjadi taruhan dalam pecutan. Apa yang penting setiap pelumba negara tidak takut apabila berdepan dengan pasukan gergasi lain,” kata Mohd Yusof.

Atas kertas, Izzat Hilmi yang dianggap pelumba paling berpengalaman bersandarkan penampilannya kali kelima di pentas LTdL 2023 bakal bertindak sebagai sprinter.

Zulhelmi turut menggalas cabaran selaku sprinter, manakala Zawawi, Muhsin Al Redha dan Shaiful Adlan tampil menggalas tugas sebagai climber pasukan kebangsaan Malaysia.

Nur Aiman pula yang kini dilabel ‘bintang dalam pembikinan’ bakal menjadi taruhan sebagai pelumba super domestik (all rounder) atas kemampuannya di laluan landai mahupun pendakian.

Peringkat 1 LTdL 2023 sejauh 187.4 kilometer (km), bermula dari Kerteh ke Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu dengan menyajikan tiga zon pecutan.

Selain tiga zon pecutan iaitu di Dungun, Ajil dan Tok Jamal, Peringkat 1 itu turut menampilkan dua zon pendakian kategori 4 (KOM4) di Jerangau dan Sekayu.

Ini adalah kali pertama bagi Kerteh yang pernah menjadi lokasi penamat LTdL 2020, dipilih sebagai venue permulaan sepanjang sejarah penganjuran LTdL sejak tahun 1996.

LTdL 2023 dengan tema Beat The Heat dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!