Operasi khas JPJ 'buru' kenderaan perdagangan lebih muatan

Aedy Fadly (dua kanan) memeriksa lori yang ditahan semasa Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar pada Jumaat. - Foto: JPJ Selangor
Aedy Fadly (dua kanan) memeriksa lori yang ditahan semasa Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar pada Jumaat. - Foto: JPJ Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenderaan perdagangan terutama lori yang membawa muatan melebihi had berada dalam radar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi operasi khas yang akan dikuatkuasakan pada minggu hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, satu arahan telah dikeluarkan kepada semua pengarah JPJ negeri untuk pelaksanaan operasi ini.

"Jadi semua operasi khas yang memfokuskan kenderaan perdagangan lebihan muatan di seluruh negara ini akan dijalankan serentak mulai minggu hadapan.

"Operasi khas kenderaan perdagangan itu akan diketuai sendiri oleh pengarah-pengarah JPJ setiap negeri," katanya dalam sidang akhbar Op Bersepadu bersama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Plaza Tol Awan Besar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, Bahagian Penguat Kuasa Ibu Pejabat JPJ Putrajaya juga akan memantau operasi ini secara rapi untuk dikemukakan laporan penuh kepada pihak pengurusan tertinggi JPJ dan juga Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Jelasnya, JPJ juga akan melihat untuk bekerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk operasi khas ini.

Pelaksanaan operasi ini susulan kes kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang membawa muatan batu pasir dengan 11 kenderaan lain Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.14 pagi itu, treler terbabit dipercayai telah mengubah laluan dari lorong tengah ke kiri sebelum merempuh kenderaan lain.

Artikel Berkaitan:

Akibat kemalangan itu dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!