KKD sedia bekerjasama tangani penyebaran berita palsu kekurangan beras
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, ia bertujuan bagi mengelakkan pembelian panik dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan beras.
"Langkah ini memberi nilai tambah kepada kempen yang digerakkan oleh KPDN yang berterusan menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan beras tempatan mencukupi di pasaran.
"Saya rasa yang paling penting adalah kita menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat supaya tak ada pembelian panik yang berlaku ketika ini.
"Saya rasa ini adalah fenomena yang bersifat sementara sahaja dan KKD akan membantu KPDN untuk sampaikan mesej kepada rakyat supaya keadaan ini akan terkawal," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan 120 khemah kepada peniaga Pasar Pagi Merbau di Bandar Putra di sini pada Sabtu.
Nie Ching berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan atau berita palsu dan informasi mengelirukan mengenai kekurangan BPT dalam pasaran.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata, orang awam boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
"Kementerian juga ada pelbagai agensi berita seperti Bernama (Pertubuhan Berita Nasional), RTM dan Jabatan Penerangan untuk sampaikan maklumat kepada rakyat jelata," katanya.
Ditanya mengenai laporan polis dibuat Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berhubung penularan video lama yang mendapat kecaman warganet, Nie Ching memaklumkan pihak SKMM tidak menerima laporan berhubung perkara itu.
"Saya difahamkan Timbalan Menteri KPDN (Fuziah) telah membuat laporan polis, jadi kita beri laluan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, kita belum terima aduan tentang perkara itu," katanya.
Sejak Khamis, tular video Fuziah berbelanja barangan keperluan yang membuktikan kos perbelanjaan dibuat tidak mencecah RM200, bagaimanapun video tular itu yang dipercayai tular bulan lalu mendapat kecaman hebat warganet yang mempertikaikan tindakannya itu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!