Kerajaan diminta bertegas, Howard Lee perlu minta maaf
SHAH ALAM - Kerajaan digesa bertindak tegas terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How apabila beliau secara dangkal cuba menafsirkan ayat al-Quran dengan tujuan untuk mengkritik umat Islam di negara ini yang tidak menyokong kerajaan.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pemimpin DAP itu juga perlu segera memohon maaf di atas perbuatan tersebut.
“Saya menyeru kepada semua muslimin dan muslimat tanpa mengira pendirian politik untuk bangkit dan mengecam tindakan Howard Lee.
“Sekiranya kita berdiam diri, dikhuatiri perkara ini akan berulang lagi, yang mana ayat suci al-Quran akan sentiasa digunakan oleh pihak tertentu daripada kalangan orang bukan Islam untuk terus memperlecehkan kesucian agama ini.
"Saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil tindakan yang amat tegas agar ia menjadi pengajaran kepada semua," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini Howard Lee dalam video di TikTok menafsirkan potongan ayat surah an-Nisa untuk menggesa umat Islam menyokong Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pihaknya akan merekod keterangan ahli parlimen itu dalam masa terdekat susulan laporan mengenai perkara tersebut dibuat di Kuala Lumpur dan Perak.
Tambah Zuraida, sememangnya al-Quran dikaji ramai sarjana termasuk bulan Islam di seluruh dunia, namun ia dilakukan melalui proses yang ketat dan disiplin ilmu rapi supaya tidak dimanipulasi mengikut selera penafsir.
“Di Malaysia setiap tafsiran dilaksanakan secara tertib, malah untuk membaca al-Quran juga kita mesti berwuduk (dalam keadaan suci dari hadas) dan bertatil iaitu mengikut hukum tajwid yang betul.
“Tafsiran sesuatu ayat dan perkataan dalam al-Quran perlu dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dan dipantau oleh autoriti agama Islam iaitu penguatkuasa agama di setiap negeri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!