Pelajar B40 cemerlang ditawar program UUM, yuran dibiayai
PENDANG - Seorang pelajar cemerlang, Nur Adyranna Aressa Ramli dari Kampong Charok Kudong, di sini terkejut menerima kehadiran Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Mohd Foad Sakdan ke rumah neneknya pada Jumaat.
Menurutnya, lebih mengejutkan kehadiran bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr Massudi Mahmuddin membawa berita gembira bahawa dia turut terpilih sebagai pelajar pertama dari universiti itu untuk Program SULUNG 2.0.
Katanya, purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 yang diperolehinya membolehkan dia melanjutkan pengajian di UUM dalam program Sarjana Muda Perakaunan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) untuk sesi 2023/2024 pada 10 Oktober ini.
“Ia adalah kegembiraan berganda kerana bukan sahaja dapat melanjutkan pengajian ke universiti nombor satu terbaik negara di bawah usia 50 tahun dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2023 malah terpilih juga dalam program SULUNG.
"Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa ibu, ayah dan nenek yang membesarkan saya,” kata anak sulung daripada dua beradik ini.
Sementara itu, Mohd Foad berkata, kunjungan mereka ke rumah pelajar terbabit adalah untuk bertemu dan melihat sendiri persediaan pelajar baharu yang akan mendaftar pada Oktober ini.
“Memandangkan Nur Adyranna Aressa memenuhi kriteria untuk dipilih dan ditawarkan bagi program SULUNG iaitu keluarga dari kategori B40 maka kunjungan ini juga diharap membawa berita gembira untuk keluarga mereka,” ujar beliau.
Menurutnya, seramai 388 pelajar kalangan B40 pelbagai kaum dan bangsa akan dipilih menyertai Program SULUNG 2.0 universiti yang melibatkan 188 pelajar baharu dan 200 pelajar sedia ada.
"Melalui program ini setiap pelajar dibiayai RM4,998 sepanjang enam semester pengajian mereka," katanya.
Beliau menambah, program itu terbuka untuk semua bidang pengajian peringkat ijazah selepas penilaian dan pengesahan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui semakan lapangan.
"Program ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan.
“Antara manfaat yang diterima mereka laluan Kemasukan Khas B40, pengecualian yuran pengajian dan pembangunan insaniah serta sokongan akademik dan kaunseling,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!