ADUN pembangkang Selangor fokus galas portfolio 'semak imbang'
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Selangor yang menganggotai Jawatankuasa Portfolio 2023 sedia menggalas tanggungjawab masing-masing bagi mewujudkan mekanisme semak imbang lebih berkesan serta memberi tumpuan kepada suara rakyat.
ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi berkata, semua ADUN PN telah bermesyuarat serta bersepakat menubuhkan portfolio itu sama seperti di peringkat Exco Selangor.
Sallehen yang memegang portfolio Pertanian dan Industri Agromakanan memberitahu, setiap portfolio itu mempunyai peranan masing-masing bagi mencari maklumat serta data-data berkaitan agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan lebih sistematik.
"Dengan penubuhan portfolio ini, gerak kerja ADUN PN Selangor lebih berfokus dan kita mempunyai persediaan dari segi data dan dokumentasi lengkap untuk berbahas dalam sidang DUN selain dapat mengemukakan apa-apa idea yang boleh disalurkan kepada kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh yang bertanggungjawab dalam portfolio Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan berkata, peranan itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan sebaliknya mahu melaksanakan tanggungjawab itu dengan lebih berkesan.
Jelas Nurul, sudah menjadi tanggungjawab beliau selaku satu-satunya ADUN wanita PN untuk memastikan kaum wanita dan kanak kanak khususnya di negeri ini terbela.
"Saya memang berbesar hati dan mempunyai banyak bimbingan dan idea serta yakin berusaha untuk memikul tanggungjawab ini sesuai dengan manifesto untuk meneruskan legasi bapa (Tan Sri Noh Omar) yang terkenal sebagai (bekas) menteri berkebajikan," ujar beliau.
Tegas Nurul, beliau juga menitikberatkan soal pembangunan keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu termasuk membangkitkan isu perpindahan guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Saya juga bertanggungjawab untuk memastikan manifesto dan pakej kebajikan kerajaan berjalan lancar dan diagih dengan adil serta saksama dalam kalangan rakyat tanpa melihat fahaman politik dan warna kulit di samping memastikan isu perpaduan di negeri ini positif dan sihat," jelas beliau.
ADUN Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri berkata, penubuhan portfolio dalam kalangan ADUN PN itu bertujuan memantapkan lagi pembangkang di negeri ini melalui saluran pandangan dan juga teguran demi pembangunan di negeri Selangor.
"Kita dapat menambah baik apa jua kekurangan dan kalau ada penambahbaikan kita mantapkan lagi supaya rakyat mendapatkan perkhidmatan terbaik," ujarnya yang memegang portfolio Pendidikan dan Sumber Manusia.
ADUN Bukit Melawati, Noorazley Yahya berkata, tumpuan beliau adalah memastikan segala perancangan atau pelan pelancongan di negeri Selangor memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, sektor pelancongan menjadi sumber ekonomi negeri dan ia memerlukan penambahbaikan secara keseluruhannya dalam memastikan negeri ini menjadi tumpuan pelancong.
"Kita mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kawasan pelancongan berpotensi untuk digazet atau diwarta sebagai pusat pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat," jelasnya yang memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan Warisan Melayu.
Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, 10 ADUN daripada kalangan barisan pembangkang Selangor dipilih bagi menganggotai Jawatankuasa Portfolio 2023 yang ditubuhkan PN.
Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peranan 10 ADUN PN dalam portfolio itu bertujuan memastikan perbincangan dan perbahasan semasa sidang DUN Selangor lebih berfokus kepada isu-isu yang dapat membantu rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!