Tiga punca utama pengaruhi kekurangan bekalan makanan
SHAH ALAM - Siri 'drama' kekurangan bekalan barangan keperluan asas yang tidak berkesudahan di negara ini dikenal pasti berpunca daripada tiga faktor utama termasuk disebabkan produktiviti sektor pertanian yang rendah.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia UKM (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ia turut berpunca daripada intervensi kerajaan yang keterlaluan selain kemungkinan wujudnya ciri-ciri monopolistik di sepanjang rantaian bekalan.
Katanya, produktiviti sektor pertanian Malaysia rendah dengan hampir 52.3 peratus daripada keperluan makanan negara diimport.
"Kita tidak berupaya mengeluarkan makanan kita sendiri dan terpaksa mengimport. Hampir separuh kategori utama makanan Tahap Sara Diri (SSL) adalah kurang daripada 70 peratus.
"Dengan pengeluaran makanan dunia terjejas akibat ketidaktentuan iklim dan konflik geopolitik, menjamin kecukupan makanan melalui import semakin mencabar. Malaysia mesti bersedia awal," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin pada Rabu yang memberi amaran awal bahawa bekalan gula pula dijangka berkurangan berikutan kenaikan harga gula global di saat isu kekurangan bekalan beras di pasaran ketika ini masih belum reda.
Mengulas lanjut, Noor Azlan memberitahu, intervensi kerajaan yang keterlaluan dalam jangka panjang merencat pembangunan sektor pertanian kerana pelabur swasta umumnya mengelak daripada industri yang dikawal secara keterlaluan.
"Hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat mampu mendapatkan bekalan makanan pada harga yang ‘rendah’ sering menjadi tawaran utama dalam memenangi hati rakyat. Intervensi ke atas pergerakan harga melalui kawalan harga adalah langkah yang ‘popular’ sebagai tanda kerajaan bertindak.
"Hakikatnya, penetapan harga kawalan lebih rendah daripada harga pasaran adalah satu dongengan. Harganya yang sangat tinggi, subsidi mencecah RM80 bilion setahun bagi mengekalkan harga rendah daripada harga pasaran.
"Ia hampir menyamai jumlah emolumen penggajian keseluruhan penjawat awam! Ini belanja hangus, tahun depan berulang lagi," tambahnya.
Malah, beliau memaklumkan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam ucapan penggulungan di Parlimen baru-baru ini menyatakan bahawa tidak mustahil jumlah subsidi ini mencecah RM100 bilion sekiranya dibiarkan berterusan.
Justeru, Noor Azlan berpandangan sebaik-baiknya harga barangan dibiar bergerak secara adil berdasarkan kuasa pasaran yang asli dan bantuan kepada yang memerlukan disalurkan secara bersasar tanpa mengganggu pergerakan harga.
Beliau menegaskan, jika berlaku ciri-ciri monopolistik di sepanjang rantaian bekalan, ia mesti dihapuskan.
"Harga yang tidak anjal kepada perubahan kuasa pasaran atau ‘anjal meningkat-tidak anjal menurun’ adalah petanda bahawa terdapat sifat-sifat monopolistik di peringkat tertentu rantaian bekalan penawaran.
"Tindakan proaktif membangunkan pasaran sihat mesti diutamakan, menghapuskan ciri-ciri monopolistik dan bukan hanya bertindak apabila harga dimanipulasikan.
"Kaji tahap persaingan di semua peringkat rantaian bekalan, khususnya bagi keperluan makanan asas. Kita berharap agar drama bersiri kekurangan bekalan makanan asas ini akan menemui penghujungnya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!