Misi getir menanti UiTM Selangor di Pulau Pinang
CABARAN sengit dijangka menanti penyandang juara keseluruhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor apabila menyingkap Karnival Sukan Mahasiswa (KARiSMA) 2023 yang berlangsung hingga 27 September ini.
UiTM Cawangan Pulau Pinang yang menjadi venue temasya menjanjikan saingan sengit kepada UiTM Selangor selepas tampil garang mengutip 18 pingat emas, 10 perak dan 10 gangsa pada edisi ke-27 di UiTM Shah Alam sebelum ini.
Saingan sengit dijangka hadir daripada pesaing terdahulu iaitu naib juara UiTM Shah Alam yang gah dengan 10 emas, 10 perak dan sembilan gangsa, dan UiTM Cawangan Negeri Sembilan (tujuh emas, tiga perak dan 12 gangsa).
Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, keseluruhan 14 kontinjen melibatkan kampus induk dan kampus-kampus negeri di seluruh sistem UiTM menyahut cabaran pada kali ini.
Katanya, edisi ke-28 dengan moto Atlet Cemerlang, UiTM Gemilang mempertaruhkan 1,278 jumlah pingat keseluruhan dan 20 piala iringan dalam 42 kategori acara.
"Acara selain dianjurkan di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dan Kampus Bertam, turut diadakan di tujuh lokasi lain di sekitar Pulau Pinang.
"Sukan KARiSMA kali ini menghimpunkan lebih 3,800 orang termasuk 2,622 atlet dan 667 pegawai dan pengurusan kontinjen negeri-negeri.
"Selain itu, penglibatan 532 orang yang terdiri daripada jawatankuasa induk, kerja, pengelola dan sukarelawan merangkumi staf dan pelajar juga menjadi unit sokongan kepada penganjuran kali ini," katanya.
Terdahulu majlis perasmian KARiSMA 2023 disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi; Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ir Dr Ahmad Rashidy Razali, rektor kampus dan kakitangan pengurusan kanan universiti.
Dalam masa sama, Roziah memaklumkan UiTM turut melancarkan Sistem Pengurusan Kejohanan Sukan (SCMS) pada majlis tersebut.
"Sistem ini dibangunkan pasukan daripada Bahagian Infostruktur UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Unit Sukan UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Pusat Sukan UiTM Shah Alam serta bantuan teknikal dari Jabatan Infostruktur UiTM Shah Alam digunakan sepanjang KARiSMA 2023 ini.
"Sistem ini juga telah diuji keberkesanannya semasa Karnival Sukan Staf (KARiSTA) UiTM, Karnival Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Badan-Badan Berkanun (SUKANUN) 2023 sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!