Ahli korporat sumbang van buat pelatih OKU
PETALING JAYA - Sebuah pusat latihan bagi mereka yang mempunyai keperluan khas (OKU), Rumah Insaniah Tun Dr Siti Hasmah kini memiliki sebuah van 12 tempat duduk hasil sumbangan seorang ahli korporat.
Sebelum ini, pusat latihan tersebut terpaksa bergantung kepada sebuah van berusia lebih 15 tahun dimiliki pihak pengurusan untuk kegunaan pentadbiran dan menjalankan aktiviti pelatih.
"Kami amat berterima kasih, dengan adanya van baharu ini, ia akan memudahkan operasi pihak pengurusan dan dapat digunakan oleh pelatih," kata pengerusi pusat latihan itu, Datuk Dr Mahmood Osman Merican.
Dr Mahmood yang juga Presiden Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata demikian selepas menerima penyerahan van bernilai lebih RM100,000 disumbangkan Pengasas Sapura Holdings, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir di Rumah Insaniah Tun Dr Siti Hasmah pada Sabtu.
Sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha Sapura Holdings untuk memberi bantuan kepada organisasi sosial dalam menaik taraf kemudahan dan perjalanan program yang sedia ada.
Dr Mahmood berkata, pusat latihan tersebut sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak namun mengalami masalah kekurangan pelatih bagi menjalani latihan di pusat latihan berkenaan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pusat latihan insan istimewa itu kini mempunyai 24 pelatih berusia antara 16 hingga 60 tahun.
"Van itu adalah penting namun lebih penting adalah penglibatan masyarakat untuk menghantar anak-anak istimewa mereka ke pusat latihan ini yang mampu memuatkan sehingga 50 pelatih.
"Sekarang hanya ada 24 orang pelatih dan masih banyak lagi kekosongan untuk diisi, jadi kami amat menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak istimewa mereka mendapatkan latihan di pusat latihan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!