Lebih ramai pemandu bas diperlukan di Lembah Klang

Anthony (tengah) bertanya sesuatu kepada seorang pemuda yang hadir pada Program Kerjaya@MOT.
Anthony (tengah) bertanya sesuatu kepada seorang pemuda yang hadir pada Program Kerjaya@MOT.
A
A
A

NILAI - Lebih ramai pemandu bas diperlukan di Lembah Klang dalam usaha kerajaan menyediakan sistem pengangkutan bas yang lebih efisien.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau berharap lebih ramai menyertai sektor berkenaan yang menyediakan banyak peluang pekerjaan.

"Banyak yang mengeluh kita (Malaysia) tidak mempunyai sistem bas awam yang efisien. Memang kita ada perancangan untuk tambah lebih banyak bas.

"Setakat ini Rapid Bas di Kuala Lumpur, hanya ada lebih 800 buah bas dan menjelang akhir tahun ini, kita bercadang menambah sehingga 1,000 bas dan tahun hadapan secara berperingkat kita bercadang nak menambah jumlahnya setiap bulan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Kerjaya@MOT di sini pada Sabtu.

Menurut Anthony, selain menyelenggara bas sedia ada, bas-bas baharu turut disediakan sama ada menggunakan kaedah beli atau sewa.

Bagaimanapun katanya, masalah akan timbul sekiranya tiada pemandu mencukupi dapat disediakan.

"Antara masalah besar dihadapi Prasarana ialah pemandu kita berkurangan. Kita memerlukan ramai pemandu kerana tidak boleh satu bas, satu pemandu.

"Kita perlu lebih ramai pemandu dari bilangan bas kerana perlu ada yang bercuti, cuti kecemasan, perlu bergilir-gilir pemandunya untuk pastikan perkhidmatan pengangkutan bas kita lebih baik di Lembah Klang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kos mendapatkan lesen perkhidmatan kenderaan awam (PSV) kelas E bagi bas yang hampir mencecah RM3,000 menjadi faktor utama ia tidak menjadi pilihan.

Disebabkan itu katanya, kerajaan telah melaksanakan Program MyLesen membabitkan lesen tersebut dalam usaha mengatasi kekurangan pemandu dalam industri itu.

"Kita sudah ada program melesenkan mereka dan kalau sesiapa berminat boleh memohon serta perlu sanggup datang untuk mendapatkan lesen selain bersedia bekerja sebaik saja lulus ujian.

"Kita nak melatih orang yang betul-betul mahu terlibat dalam sektor ini," katanya.

Sementara itu berkenaan dengan program kerjaya dianjurkan, Ahli Parlimen Seremban itu mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi melaksanakannya.

Ujarnya, program yang berlangsung selama dua hari itu menyediakan sebanyak 2,232 peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan pengangkutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!