Jambatan Al-Sultan Abdullah memangkin ekonomi masyarakat - Ahmad Zahid
BERA - Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai di sini, diharap dapat memangkin ekonomi masyarakat tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementerian itu akan terus proaktif dalam agenda pembangunan masyarakat desa bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka secara menyeluruh.
"Saya berharap dengan tersedianya jambatan ini, ia dapat memangkin ekonomi masyarakat tempatan dan seterusnya dapat menghubungkan masyarakat di daerah ini untuk kemudahan pelbagai kegiatan kemasyarakatan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Jambatan Guai di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian itu, selain turut berkenan jambatan itu dinamakan sebagai Jambatan Al-Sultan Abdullah.
Jambatan bernilai RM98.5 juta yang merentasi Sungai Pahang sepanjang 770 meter dan jalan tuju sepanjang 799 meter itu siap pada 30 November 2021, selepas kelulusan projek diperoleh pada 2016.
Projek tersebut sepatutnya siap setahun lebih awal, bagaimanapun mengalami sedikit kelewatan kerana banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19.
Jambatan itu yang menghubungkan dan memudahkan penduduk sembilan kampung yang terpisah oleh Sungai Pahang, juga dapat memendekkan perjalanan untuk ke bandar Bera kepada 20 minit berbanding satu jam setengah menggunakan laluan biasa.
Selain itu, ia juga menjadi laluan alternatif kepada penduduk Bera untuk ke Temerloh dan Kuantan.
Bagi tujuan penyelenggaraan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan jambatan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Pahang untuk disenggara di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
KKDW juga memaklumkan terdapat 32 projek jalan luar bandar sedang dilaksanakan di Pahang melibatkan kos RM2.15 bilion dengan lima daripadanya adalah projek yang dilaksanakan di Bera.
Kerajaan Persekutuan melalui KKDW telah meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM406 juta kepada Pahang pada 2023 untuk melaksanakan 127 projek pembangunan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!