Masa untuk Shah Firdaus keluar dari bayangan 'Pocket Rocketman'

Muhammad Shah Firdaus - Foto Bernama
Muhammad Shah Firdaus - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dilihat sudah bersedia untuk keluar daripada bayangan seniornya, Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan bermula secara rasmi hari ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, selama ini Shah Firdaus seakan berada dalam bayangan Mohd Azizulhasni yang sudah pun membuktikan kecemerlangannya di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, menjelang temasya sukan empat tahun sekali itu, pemenang gangsa acara keirin Sukan Komanwel 2022 itu menunjukkan sisi berbeza dari segi penampilan yang lebih garang, selain dilihat lebih berkeyakinan setelah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Hangzhou.

"Saya rasa kombinasi itu (sisi berbeza dan mandat diberikan) jadikannya sangat bertenaga, sikapnya seperti Mohd Azizulhasni dan beliau beritahu saya bahawa sudah bersedia untuk menggalas cabaran ini dan yakin dapat beri persaingan hebat.

"Beliau juga bersedia terutama untuk gantikan Mohd Azizulhasni dalam acara keirin, saya rasa dia sudah bersedia untuk bangkit pada temasya itu....saya suka apa yang saya lihat (semangat Shah Firdaus)," katanya pada sidang media bersama pengamal media tempatan Pusat Media Utama (MPC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Azizulhasni mengumumkan menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas mengalami kecederaan pinggul susulan kemalangan berkelajuan tinggi ketika sesi latihan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.

Kekosongan ditinggalkan beliau dalam acara keirin akan diisi Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang akan beraksi bersama Shah Firdaus.

Sebagai rekod, Shah Firdaus yang merupakan atlet kelahiran Johor adalah pemenang pingat perak acara keirin pada Kejohanan Asia 2019 dan 2022 sebelum menyambar gangsa pada edisi 2023 yang berlangsung di Nilai.

Artikel Berkaitan:

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Shah Firdaus bersama Mohd Azizulhasni dan Muhammad Fadhil merangkul perak acara pecut berpasukan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza berkata, kesemua atlet negara dilihat bersemangat tinggi ketika membuat lawatan ke perkampungan sukan di sini pagi ini.

"Saya bertemu ramai atlet khususnya dari sukan hoki, berbasikal dan wushu. Saya juga berkesempatan memberi sedikit kata-kata semangat kepada pasukan hoki yang akan memulakan perlawanan esok dan semangat atlet kita keseluruhannya sangat tinggi," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!