Pemandu, dua penumpang cedera bas persiaran terbalik
PORT DICKSON - Pemandu dan dua penumpang cedera ringan selepas bas persiaran dinaiki terbalik berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa, di sini pada Sabtu.
Kejadian jam 10 pagi itu berlaku ketika bas yang membawa seramai 20 penumpang dalam perjalanan dari tempat penginapan mereka di sebuah hotel, di sini menuju ke Pantai Teluk Kemang.
Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson dan Teluk Kemang berserta 19 pegawai dan anggota ditugaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
"Turut turun membantu anggota dari BPP Seremban 2 dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kemalangan melibatkan sebuah bas persiapan yang membawa seramai 20 orang penumpang iaitu lapan lelaki dewasa dan 12 orang wanita dewasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, seorang lelaki dewasa yang merupakan pemandu bas dan dua penumpang wanita dewasa mengalami cedera ringan.
"Kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!