'Usah beri perhatian terhadap dakwaan Haslihelmy ' - Amizar

Calon BN pada PRK Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam (tengah).
Calon BN pada PRK Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam (tengah).
A
A
A

BENTONG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam menyifatkan dakwaan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli tidak perlu diberi perhatian.

Katanya, ini kerana kerana objektif utama Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi memajukan DUN ini bukannya untuk meluahkan bantahan.

Beliau juga tidak mahu menjatuhkan sesiapa dengan bertanding di Pelangai.

"Ini negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding (dalam PRK). Ia terpulang kepada orang itu (Haslihelmy) dan apa yang dia mahu.

"Tapi, objektif saya jelas bahawa saya mewakili BN di sini (Pelangai) untuk membangunkan kawasan dan rakyatnya. Ini keutamaan kita dan saya tidak bertanding untuk menjatuhkan sesiapa," katanya kepada pemberita selepas bertemu ahli UMNO di Felda Chemomoi pada Sabtu.

Sebelum ini, Haslihelmy yang merupakan Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan BN memilih Amizar sebagai calon mereka.

Haslihelmy mendakwa pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh adalah calon yang diluluskan oleh akar umbi.

Beliau mendakwa sekiranya BN telah memilih Mohamad Zaini, maka beliau tidak akan membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Artikel Berkaitan:

Amizar yang merupakan Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Bentong memaklumkan beliau akan memberi fokus kepada tugasnya semasa kempen PRK dan akan terus melaksanakannya seperti yang dirancang.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Amizar menentang dua lagi calon iaitu Haslihelmy dan Kasim Samat daripada Perikatan Nasional (PN).

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).