MOSTI setuju laksana dasar larangan eksport REE
GOPENG - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju dengan cadangan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE).
Menterinya, Chah Lih Kang berkata, langkah itu mampu menggalakkan perkembangan industri hiliran menerusi pemindahan teknologi dan kepakaran.
"Kalau kita eksport REE seperti ini, ia tidak dapat membantu negara kita dalam membangunkan industri berkaitan.
"Jadi untuk memberi nilai tambah kepada negara, kita perlu bangunkan industri hiliran REE kita tanpa perlu membenarkan eksport keluar," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Gopeng 2.0 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, dasar larangan eksport itu juga bukan sesuatu yang baharu kerana negara luar seperti Indonesia turut mengenakan dasar sama.
"Di Indonesia, mereka tidak membenarkan eksport nikel, jadi perkara ini biasa dan berlaku di negara-negara lain juga supaya dapat membantu kita membangunkan industri hiliran," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan akan membangunkan dasar larangan tersebut selain Dasar Mineral Negara baharu turut dirangka.
Langkah itu bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.
Projek rintis perlombongan REE di Perak dilaporkan telah mengeksport 4,477.039 tan metrik nadir bumi karbonat (REC) ke China melalui empat penghantaran iaitu pada Februari, Mac dan April 2023.
Sementara itu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu berkata, MOSTI komited dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang bermatlamat memupuk minat pelajar dan belia terhadap pendidikan STEM.
Jelasnya, antara usaha itu termasuk pelaksanaan Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics di seluruh pelosok negara serta bekerjasama buat pertama kali dengan Kementerian Ekonomi melancarkan Rancangan Realiti TV Inovasi INNOVATHON.
"Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menekankan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) secara bersepadu, konsisten dan inklusif seterusnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!