Verstappen sambar petak pertama GP Jepun
JUARA dunia, Max Verstappen mempamerkan pemanduan bertenaga sekali gus menyambar petak pertama untuk perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Jepun, pada Ahad lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pemandu Red Bull itu mendominasi ketiga-tiga sesi latihan ketika pasukannya bangkit daripada kekalahan musim pertama mereka pada hujung minggu lalu di Singapura.
Verstappen kemudian menduduki tempat teratas dengan catatan masa 1 minit 28.877 saat di Litar Perlumbaan Antarabangsa Suzuka sepanjang 5.807 kilometer.
Petak pertama itu adalah yang kesembilan bagi pemandu Belanda tersebut musim ini dan yang ke-29 secara keseluruhan, lebih dari separuh saat di hadapan Oscar Piastri dari McLaren, yang berpuas hati dengan catatan masa kelayakan terbaik dalam kariernya di tempat kedua.
Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris pula di tempat ketiga manakala pemenang di Singapura Carlos Sainz dari Ferrari di tempat keenam.
Bendera merah dikibarkan pada Q1 selepas jentera dipandu Logan Sargeant dari Williams merempuh penghadang pada selekoh terakhir.
Kereta dipandunya rosak teruk tetapi pemandu Amerika tersebut dilihat tidak cedera.
Red Bull berpeluang meraih kejuaraan pembina kedua berturut-turut dan keenam secara keseluruhan ketika perlumbaan pada Ahad. -Bernama/dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!