Kelantan sokong penuh pemerkasaan institusi pondok

Orang ramai mengambil peluang bersalaman dengan Mohd Nassuruddin (dua dari kanan).
Orang ramai mengambil peluang bersalaman dengan Mohd Nassuruddin (dua dari kanan).
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap pemerkasaan pembangunan institusi pengajian pondok di negeri itu dalam usaha melonjakkan semula gelaran sebagai Serambi Makkah.

Usaha itu termasuklah menaik taraf dan membesarkan institusi sedia ada serta menambah pembangunan institusi pondok.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri mahu institusi pondok terus berfungsi dalam melahirkan ulama dan pemimpin pada masa hadapan.

Mohd Nassuruddin (depan, dua dari kiri) berjalan beriringan dengan Wazir (dua dari kanan) pada Program Pondok-pondok Berselawat di Pasir Puteh.
Mohd Nassuruddin (depan, dua dari kiri) berjalan beriringan dengan Wazir (dua dari kanan) pada Program Pondok-pondok Berselawat di Pasir Puteh.

Menurutnya, langkah pengukuhan itu juga perlu bagi memastikan ada pelapis yang terus menerajui kesinambungan institusi pondok dari zaman ke zaman.

“Kerajaan ini memberi sokongan sepenuhnya dan mahu pondok di Kelantan ini makin berkembang. Sekarang ini, yang berlaku apabila tok guru pondok meninggal dunia, mati sekali dengan pondok-pondok.

“Anak murid atau anak sendiri pun tak boleh ganti. Itu perkara lepas yang berlaku dan kita tidak mahu berulang lagi. Jadi, kita perlu berpakat untuk hidupkan dan perkasakan semula pengajian ini sesuai dengan Kelantan Serambi Makkah,” katanya dalam ucapan perasmian Program Pondok-pondok Berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul Perdana 1445M/2023M di Cherang Tuli, Padang Pak Amat di sini, pada Sabtu.

Mohd Nassuruddin turut menjelaskan Kelantan mendapat gelaran Serambi Makkah apabila orang dahulu datang menuntut ilmu agama di negeri ini jika tidak dapat belajar di Makkah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan), Wazir (kiri) dan Habib Abdullah (dua dari kiri) yang hadir bersama-sama berselawat di Pasir Puteh pada Sabtu.
Mohd Nassuruddin (tiga dari kanan), Wazir (kiri) dan Habib Abdullah (dua dari kiri) yang hadir bersama-sama berselawat di Pasir Puteh pada Sabtu.

Katanya, usaha mengembalikan kegemilangan itu hendaklah mendapat sokongan oleh semua pihak.

“Kenapa orang sebut Kelantan Serambi Makkah? Kalau zaman dulu orang tak ada duit belanja untuk mengaji di Makkah dan dia akan datang mengaji di Kelantan.

“Tak dapat ke Makkah, mengaji di serambi pun dah cukup. Semangat dan keadaan itu yang kita nak lahirkan semula di Kelantan ini,” ujar beliau.

Pada majlis itu, kira-kira 30,000 individu hadir termasuk warga pondok seluruh Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Johor dan Pattani, Thailand.

Program selawat anjuran institusi pengajian pondok diadakan di Kelantan.
Program selawat anjuran institusi pengajian pondok diadakan di Kelantan.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Guru-guru Pondok negeri Kelantan, Wazir Che Awang dan penampilan istimewa Pengerusi Majlis Muwasolah Baina Ulama Muslimin Malaysia dan Pemimpin Majlis Taalim At-Tahqiq Al-Ilmi Li Ahli As-Sunnah, Habib Abdullah Abdul Qadir Al-Habsyi.

Program bermula dengan perarakan Maulidur Rasul secara besar-besaran melibatkan persatuan dan orang awam seperti persatuan berkuda, basikal tua, motosikal berkuasa tinggi, kereta klasik, kenderaan pacuan empat roda dan diserikan dengan maulid, qasidah dan tausiah daripada wakil guru-guru pondok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!