Sufi Syafrina kritikal
SHAH ALAM - Kesihatan Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1 dilaporkan kritikal dan terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bapa kepada bayi berusia enam bulan itu, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata, keadaan Sufi agak tenat kerana paras oksigen menurun kepada 30 peratus.
Ujarnya, anak kecil itu terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan dan berpuasa untuk tempoh yang agak lama.
“Keadaan anak saya agak tenat. Badan, kaki, tangan dan bibir sudah bertukar pucat kebiruan.
“Semalam Sufi kena puasa dan pagi tadi keadaan dia agak teruk. Pagi tadi selepas dia minum susu, oksigen kembali turun. Saya sendiri tidak pasti sampai bila dia kena berpuasa.
“Doktor ada cuba menekan dada dia dan menyedut kahak menggunakan mesin sedia ada. Setakat ini doktor cuba membantu sekadar yang termampu,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian pada Sabtu.
Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan penderitaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dan melancarkan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina bagi mengumpul sumbangan RM9 juta untuk suntikan Zolgensma.
Sufi kini bergantung kepada ubat Risdiplam yang berharga RM40,300 untuk tempoh 35 hari bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain rawatan bioterapi di Hospital Shah Alam tiga hingga empat kali seminggu.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Shafiq, setakat ini keluarga masih menunggu perkembangan dari masa ke masa oleh pihak hospital.
“Saya dan keluarga masih menunggu doktor untuk beri penjelasan lanjut mengenai keadaan semasa Sufi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!