Usaha stabilkan bekalan beras dalam negara
Komitmen kementerian gerakkan inisiatif PKBPT
Kenaikan harga beras import itu diumumkan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berikutan faktor iklim global yang menjejaskan pengeluaran padi, kadar tukaran asing yang lemah di samping dasar larangan eksport yang dikuatkuasakan oleh pemerintah India ke atas beras putih.
Ekoran daripada kenaikan harga beras import itu, permintaan terhadap beras tempatan mengalami peningkatan.
Lebih memburukkan keadaan ada pengguna dan peniaga telah membuat pembelian panik dengan membeli beras tempatan melebihi kadar normal.
Akhirnya, tingkah laku pembelian (purchasing behaviour) para pengguna secara mengejut itu telah menyebabkan bekalan beras putih tempatan (BPT) mengalami kekurangan di pasaran disebabkan permintaan yang tinggi serta luar biasa.
Situasi menjadi semakin diburukkan lagi oleh andaian yang tidak masuk akal yang mengatakan bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) dalam negara tidak cukup untuk rakyat sehinggalah dakwaan kononnya wujud unsur penyelewengan.
Walhal, kesemua andaian tersebut didapati tidak benar seperti mana yang telah ditegaskan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa sesi sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebaliknya, beliau memaklumkan bahawa bekalan beras tempatan kekal stabil serta mencukupi untuk keperluan rakyat. Ketika ini stok bekalan beras dalam negara ada sebanyak 900,000 tan metrik yang mana 250,000 tan metrik membabitkan simpanan stok manakala 650,000 tan metrik adalah untuk dagangan.
"Jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.” jelas Mohamad.
Malah, menteri itu semasa melancarkan Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Kawasan Pokok Sena, Pulau Pinang pada Rabu mengulangi jaminan bahawa bekalan BPT di seluruh negara akan kembali stabil dalam tempoh sebulan.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan bekalan beras mencukupi.
Selain itu, rakyat juga perlu sedar bahawa faktor kenaikan harga beras import itu adalah di luar kawalan Bernas dan juga di luar kawalan kerajaan.
Selain Malaysia, isu yang sama turut dihadapi oleh negara-negara lain di rantau Asia seperti Thailand dan Indonesia.
Maka dalam isu ini, semua pihak sama ada para peniaga serta pengguna harus bersikap adil tidak boleh secara terus menuding jari kepada kerajaan dalam situasi berkenaan.
Program Khas Beras Putih Tempatan
Hakikatnya, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa peka dalam memahami setiap keperluan rakyat negara ini dalam menjamin bekalan makanan mencukupi dan berterusan.
Dalam tempoh singkat sahaja, KPKM telah pun menggerakkan usaha intervensi dengan menambah lagi bekalan BPT untuk keperluan rakyat menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) fasa pertama bermula 8 September lalu dengan melibatkan penambahan 20 peratus pengeluaran BPT menerusi arahan yang dikeluarkan kepada lima pengeluar beras terbesar di negara ini.
Melalui penambahan pengeluaran 20 peratus BPT tersebut, ia bersamaan dengan 23,000 tan metrik (23,000,000 kilogram (kg) atau 2.3 juta kampit beras 10kg) bekalan beras untuk keperluan rakyat setiap bulan.
Malah, PKBPT itu diteruskan dengan fasa kedua pada 15 September lalu melibatkan 103 pemborong beras di seluruh negara yang bertanggungjawab dari segi pengedaran SST kepada para peruncit seterusnya dijual kepada rakyat di setiap negeri dengan harga RM2.60 sekilogram (RM26 bagi 10kg).
Difahamkan, jumlah bekalan SST tersebut dianggarkan akan bertambah pada kadar 19 peratus pada pertengahan Oktober.
Pertambahan positif bekalan itu turut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh pada Selasa yang mana pengeluaran padi di kawasan MADA dijangka mencapai kadar 90 peratus dengan hasil pengeluaran sebanyak 450,000 tan metrik iaitu bersamaan 274,000 tan metrik beras (274,000,000kg).
Pengedaran bekalan BPT
Susulan pelaksanaan PKBPT itu, para pemborong menyambut baik langkah KPKM itu yang mana pada dasarnya dapat membantu memastikan bekalan BPT sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat di seluruh negara.
Pandangan itu dinyatakan Pengerusi Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Zon Selatan, Khalil Ahmad sambil menyifatkan pihaknya sentiasa bersedia mengedarkan bekalan SST kepada peruncit seterusnya kepada pengguna.
Reaksi rakyat
"Jualan beras seperti di Peladang Outlet ini mudahkan rakyat dapat bekalan beras tempatan dengan mudah.” - Ismail Ishak, 54.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!