MAQNA FIFA 23 The Final Showdown himpun 444 peserta

Antara peserta yang bertanding dalam MAQNA FIFA 23 The Final Showdown di Quill City Mall pada Sabtu
Antara peserta yang bertanding dalam MAQNA FIFA 23 The Final Showdown di Quill City Mall pada Sabtu
A
A
A

KUALA LUMPUR - MAQNA FIFA 23 The Final Showdown menjadi antara program kejohanan e-sukan terbesar di Malaysia yang menghimpunkan penyertaan seramai 444 pemain dari seluruh negara.

Lebih menarik lagi, penganjuran kejohanan berprestij itu menyaksikan pertandingan melibatkan tiga peringkat kategori iaitu satu lawan satu, dua lawan dua dan 11 lawan 11, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 ditawarkan kepada para pemenang.

Eksekutif Pembangunan Perniagaan E-Sukan Maqna Momento Sdn Bhd (Maqna), Mohamad Firdaus Hakimi Othman, 28, berkata, kejohanan tersebut pastinya menarik minat ramai penggemar e-sukan terutamanya peminat FIFA23.

Mohamad Firdaus
Mohamad Firdaus

Ujar Mohamad Firdaus, antara kategori istimewa yang menjadi tumpuan pastinya 11 lawan 11 yang memperlihatkan pertembungan antara pasukan yang disertai seramai 20 kumpulan.

"Bagi kategori 11 lawan 11, satu kumpulan itu terdiri daripada 15 pemain.

"Untuk peringkat satu lawan satu, kita ada 64 pemain manakala dua lawan dua pula 40 pasukan, maknanya 80 pemain terlibat.

"Jadi keseluruhan semua pemain yang menyertai kejohanan ini adalah seramai 444 pemain," katanya kepada Sinar Harian di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kejohanan peringkat antarabangsa itu berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu jam 10 pagi hingga 10 malam.

Peminat juga boleh menonton kejohanan berkenaan melalui siaran langsung di platform media sosial MAQNA eSport Club dan Virtual Pro Gaming (VPG) Asia.

Dalam pada itu, ulas Mohamad Firdaus, penganjuran program tersebut merupakan antara inisiatif Maqna dalam memperkasakan industri e-sukan di negara ini.

Menurutnya, ia sekaligus mengangkat minat serta kebolehupayaan generasi muda yang berbakat besar dalam bidang e-sukan ke peringkat antarabangsa.

"Ramai yang orang kata berkebolehan menjadi pemain e-sukan tetapi tidak ada platform yang betul.

"Jadi kami di Maqna tampil dengan satu inisiatif, maksudnya kita cuba bantu ketengahkan komuniti tersebut dengan menganjurkan program seperti MAQNA FIFA 23 The Final Showdown.

"Alhamdulillah penyertaan peserta itu amat menggalakkan sebab ada pemain datang daripada Singapura dan pelajar luar negara yang menetap di Malaysia pun ada sertai juga, seperti Bangladesh dan Indonesia," ujarnya.

Tambah Mohamad Firdaus, terdapat juga pelbagai aktiviti menarik di tapak kejohanan berkenaan seperti Lucky Draw, Talk Show, Camera 260, Sim Racing dan lain-lain.

Nik Justin (tiga dari kiri) bersama Sahrin (tiga dari kanan), Mohamad Firdaus (dua dari kiri) dan kakitangan Sinar Harian serta Maqnam pada Sabtu.
Nik Justin (tiga dari kiri) bersama Sahrin (tiga dari kanan), Mohamad Firdaus (dua dari kiri) dan kakitangan Sinar Harian serta Maqnam pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pihaknya berbesar hati dapat berkolaborasi sebagai media strategik dalam program kejohanan tersebut.

"Kami di Sinar Harian melihat Maqna ini bukan sekadar penganjuran e-sukan semata-mata, mereka turut menambah baik program-program biasa yang kita lihat di luar sana.

"Selain itu, mereka juga menambah nilai kepada setiap program yang mereka anjurkan terutamanya dari segi pemerkasaan belia.

"Itu yang kami amat puji dan kami bersedia menyokong. Ini adalah langkah pertama kolaborasi kami bersama Maqna," katanya.

Menurutnya, Sinar Harian telah lama menghebahkan dan berkongsi berita-berita melibatkan e-sukan sejak dua tahun lalu lagi.

"Ia selari dengan falsafah Sinar Harian iaitu memperkasakan suara rakyat. Jadi pemerkasaan itu penting dan kami sentiasa bekerjasama lebih dekat dengan Maqna supaya kami juga dapat menambah nilai pada objektif-objektif yang mereka ingin sampaikan kepada rakyat terutamanya golongan belia.

Di samping itu, ujar Nik Justin, pengunjung juga boleh mengunjungi reruai Sinar Harian yang turut dibuka berdekatan dengan lokasi kejohanan tersebut.

"Fokus reruai ini berbeza dengan reruai lain yang Sinar Harian pernah sertai iaitu kami menfokuskan ruang ini kepada aset-aset Sinar Karangkraf seperti aplikasi digital Sinar Harian, yang mana antara paling banyak dimuat turun.

"Biasanya kita buat penjualan surat khabar di reruai Sinar Harian dan sebagainya tetapi ini peluang terbaik untuk kita tampilkan aset-aset digital yang Sinar Karangkraf ada," jelasnya.

-Tamat-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!