Radzi Jidin nafi dakwaan rasuah RM80 juta, isteri jadi proksi

Mohd Radzi - Foto Bernama
Mohd Radzi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menafikan terlibat dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah ke atas satu projek rundingan terus bernilai RM80 juta.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Ahli Parlimen Putrajaya itu menjelaskan, dakwaan mengaitkan isterinya Datin Balkis Zakaria sebagai proksi bagi sebuah syarikat yang terlibat dengan projek tersebut juga tidak benar sama sekali.

“Saya ingin tegaskan bahawa tuduhan yang terkandung dalam mesej tular di WhatsApp mengaitkan isteri saya dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah tidak benar sama sekali.

“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan tidak mempunyai kaitan mahu pun kepentingan dalam syarikat yang dinyatakan,” katanya.

Tambah Mohd Radzi, tindakan undang-undang juga bakal diambil terhadap mana-mana pihak yang mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan tidak berasas itu.

Beliau dalam masa sama turut mengesahkan pegawainya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes berkenaan.

Mohd Radzi mendakwa, penahanan bekas setiausaha politiknya, dilakukan kononnya atas alasan bahawa beliau terlibat dalam perkara tersebut dan berdasarkan suatu mesej WhatsApp karut yang tular di media sosial.

"Saya menegaskan saya tidak pernah meminta atau menerima, sama ada secara terus atau melalui mana-mana orang lain, sebarang rasuah atau suapan daripada sesiapa pun sama sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan antara dua individu direman disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki dipercayai ditahan pada Jumaat kira-kira jam 11 malam ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!