'Tak wajar beri peruntukan sehari sebelum penamaan calon'

Syahir Sulaiman.
Syahir Sulaiman.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang memberikan peruntukan tambahan kepada tiga buah sekolah di Pelangai, Bentong, Pahang, sehari sebelum penamaan calon.

Beliau mendakwa, perbuatan itu jelas bercanggah dengan slogan dilaungkan DAP sebelum ini yang mana pilihan raya perlu berlangsung dengan bersih dan saksama, meskipun mungkin ada menganggap bantuan itu kebetulan.

Menurutnya, amalan mengumumkan projek segera dan peruntukan tambahan dalam tempoh sebelum dan semasa berkempen memberikan kelebihan buat kerajaan berbanding pembangkang.

“Budaya sogokan dan ugutan dalam politik tidak wajar diteruskan walaupun disaksikan secara terbuka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

“Malah pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) turut kesal dan membuat laporan polis terhadap ucapan yang berbaur sogokan serta ugutan untuk memancing undi dalam PRK Parlimen Pulai tempoh hari,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Lim Hui Ying memberikan peruntukan tambahan sejumlah RM110,000 bagi tujuan menaik taraf kemudahan di tiga sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Manchis dan SJKC Telemong, masing-masing sebanyak RM30,000 serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Renjok yang menerima RM50,000.

Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas menerangkan, pihaknya berharap agar perkara sedemikian tidak berlaku di PRK DUN Pelangai nanti.

“Kami mengharapkan pilihan raya di DUN Pelangai, sebuah kawasan pedalaman terpencil tidak dicemari dengan politik wang, sogokan dan ugutan terhadap pengundi.

Artikel Berkaitan:

“Semoga pengundi, khususnya generasi muda lebih matang menilai pemimpin yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam membela serta memperjuangkan nasib rakyat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!