Cipta sejarah LTdL, Malaysia bukti mampu cabar pasukan elit

Barisan enam pelumba negara sebelum memulakan Peringkat 1 LTdL 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu Foto Facebook PKBM
Barisan enam pelumba negara sebelum memulakan Peringkat 1 LTdL 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu Foto Facebook PKBM
A
A
A

KEJAYAAN Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil meraih tempat keempat pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 pada Sabtu membuktikan pasukan kebangsaan Malaysia bukan sekadar pelengkap.

Malah, barisan enam pelumba negara bimbingan ketua jurulatih, Mohd Yusof Nasir itu memperlihatkan kehadiran mereka pada LTdL kali ini tidak boleh dipandang sepi.

Sebaik berakhirnya Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu dengan jarak laluan sejauh 187.4 kilometer (km) itu, Malaysia muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan dan pasukan terbaik Asia.

Kejayaan yang diraih di bumi Darul Iman itu merupakan satu sejarah buat pasukan kebangsaan Malaysia sepanjang penganjuran LTdL sejak edisi sulung pada 1996.

"Ya... ini satu sejarah buat pasukan kebangsaan Malaysia. Kita tidak pernah meraih kedudukan pertama dalam mana-mana klasifikasi berpasukan sejak LTdL dianjurkan.

"Saya harap barisan pelumba negara akan terus mengekalkan momentum positif ini pada perlumbaan akan datang," kata Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM)," Norazman Abu Samah.

Bagi kedudukan pasukan terbaik keseluruhan, Malaysia mendahului pasukan WorldTour, Astana Qazaqstan Team yang berada di tempat kedua, manakala Green Project Bardiani CSF-Faizane di tempat ketiga.

Bagi kedudukan pasukan terbaik Asia selepas Peringkat 1, Malaysia di tangga teratas diikuti JCL Team Ukyo dari Jepun dan wakil Indonesia, Nusantara Cycling Team.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya saya tidak terkejut dengan pencapaian ini. Ia adalah satu permulaan yang amat positif kerana kalau dilihat senarai keseluruhan pasukan, kami berjaya mengatasi pasukan hebat seperti Astana dan Bardiani.

"Saya rasa ini kejayaan ini juga adalah hadiah hari jadi (saya) yang kebetulan jatuh pada hari ini (Sabtu)," jelas Mohd Yusof yang kini menginjak usia 45 tahun.

Selain kejayaan Izzat Halil menduduki tempat keempat, Malaysia juga boleh berbangga apabila pelumba muda, Zulhelmi Zainal berjaya mengakhiri perlumbaan di tangga ke-12.

Empat lagi pelumba - Muhammad Nur Aiman Rosli di tempat ke-19; Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri (72); Muhsin AL Redha Misbah (91) dan Muhammad Zawawi Azman (100).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!