KPDNHEP Selangor periksa 2,869 bazar Ramadan
BANGI - Sebanyak 2,869 premis bazar Ramadan seluruh Selangor diperiksa dalam operasi pemeriksaan berkala dijalankan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 6 Mei lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, jumlah tersebut adalah setakat yang dijalankan pihaknya sehingga 12 Mei lalu menumpukan kepada pemantauan harga dan juga tanda harga.
Beliau berkata, bagi pemeriksaan di bazar Ramadan di kawasan bandar sebanyak 1,570 premis diperiksa, manakala di kawasan luar bandar melibatkan 1,299 premis.
"Daripada jumlah tersebut, hanya satu tindakan berbentuk amaran diambil kerana gagal mempamerkan tanda harga.
"Selain itu, tiada sebarang notis dikeluarkan di bawah Sekyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi kesalahan menaikkan harga makanan dan minuman sepanjang pemeriksaan di bazar Ramadan seluruh Selangor," katanya selepas membuat pemeriksaan berkala di bazar Ramadan Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut juga, pihaknya mendapati tiada sebarang kenaikan harga juadah dikenakan dan harga ditawarkan sama seperti tahun lalu.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang aduan diterima pihaknya berhubung kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan.
"Peniaga di bazar Ramadan Selangor dilihat tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan yang mereka jual dan setakat ini, kesemuanya mematuhi peraturan ditetapkan.
"Pemeriksaan secara berkala di semua bazar Ramadan di Selangor diteruskan dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!