Orang ramai harap Jualan Rahmah diadakan lebih kerap
BUKIT MERTAJAM - Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan kerajaan dapat membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup malah orang ramai berharap inisiatif itu diadakan lebih kerap di semua kawasan.
Warga emas, Mohd Idrus Abu Bakar, 67, berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang membeli barang keperluan di Program Jualan Rahmah Parlimen Bukit Mertajam semalam kerana harganya lebih murah selain mudah mendapatkan bekalan.
"Tak apa beratur panjang pun nak beli hari ni, janji boleh beli beras, minyak dan sardin tin pada harga murah... baru-baru ni pak cik tengok di kedai, harga beras import RM40 lebih bagi kampit 10 kilogram tapi di sini hari ini RM14 sahaja untuk kampit lima kilogram.
"Cuma telur dan gula dah habis tadi, pak cik harap jualan ni dapat buat lebih kerap supaya kami golongan B40 ni dapat beli pada harga murah," katanya yang ditemui pada program berkenaan.
Siti Wahidah Iberim, 32, berkata, inisiatif itu sangat membantunya sekeluarga kerana dapat berjimat hingga RM100 sebulan.
Suri rumah itu berkata Program Jualan Rahmah antara lokasi mudah dia dan suami mendapatkan barangan keperluan berbanding pasar raya besar atau kedai runcit yang ketika ini mengalami kekurangan bekalan seperti beras.
"Saya harap kerajaan dapat mengadakan program seperti ini paling kurang sekali sebulan dalam usaha meringankan beban rakyat," katanya.
Wong Ah Soon,70, pula menyifatkan Jualan Rahmah bukan sahaja menawarkan barangan pada harga murah malah berkualiti sekali gus menjadi pilihannya sekeluarga kerana dapat berjimat.
"Walaupun dihadkan belian, contohnya satu kampit beras untuk setiap orang, ia langkah yang baik supaya ramai dapat beli.
"Saya datang 8 pagi dan beratur panjang walaupun terdapat laluan khas untuk warga emas.
Puas hati dapat beli barang keperluan hari ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!