Barang keperluan masih ada, mudah diperolehi di Pasir Gudang - KPDN

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa KPDN mengadakan jualan Rahmah di kawasan Parlimennya bagi mengatasi masalah ketiadaan barang keperluan asas.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa KPDN mengadakan jualan Rahmah di kawasan Parlimennya bagi mengatasi masalah ketiadaan barang keperluan asas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menegaskan barang keperluan seperti gula, minyak masak, tepung dan telur ayam masih ada serta mudah diperolehi di Pasir Gudang.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan di beberapa premis pasar raya di Pasir Gudang mendapati tidak timbul isu kekurangan bekalan barang keperluan sebagaimana yang didakwa di media sosial.

Menurutnya, sehingga kini juga tiada aduan rasmi diterima KPDN Johor berhubung isu gangguan kekurangan bekalan keperluan tersebut.

"KPDN Johor telah mengambil tindakan proaktif membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan ke atas bekalan barang keperluan asas di semua peringkat rantaian pengedaran melibatkan pengilang, pemborong serta peruncit di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lilis Saslinda, KPDN Johor juga telah berterusan mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) di kesemua 26 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di pasar raya di Pasir Gudang pada minggu ini.

"Seterusnya PJR di Pasir Gudang akan diadakan secara luar premis dan bergerak (mobile) di Taman Pasir Putih dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana pada 29 dan 30 September ini

"PJR kali ini menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa seperti gula, tepung, telur ayam, ikan, ayam, beras, buah-buahan, sayuran dan lain-lain.

"Maklumat lokasi dan tarikh PJR boleh disemak melalui laman web dan platform media sosial Facebook KPDN Johor," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam itu, orang ramai diingatkan agar membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak membeli barangan yang berlebihan agar tidak menimbulkan suasana pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Jelasnya, seramai 200 anggota penguat kuasa KPDN Johor sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan asas serta harian mencukupi bagi rakyat negeri ini.

"Peniaga pula diminta mematuhi segala undang-undang perniagaan ditetapkan oleh kementerian dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangya.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat peniaga melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa KPDN mengadakan jualan Rahmah di kawasan Parlimennya bagi mengatasi masalah ketiadaan barang keperluan asas.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh seterusnya dilaporkan telah memberi maklum balas segera terhadap aduan terbabit tidak lama selepas dimaklumkan perkara itu dengan mengarah Pengarah KPDN Johor mengambil tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!