LTdL 2023: Zawawi belum 'panas'

Antara aksi pelumba Skuad Berbasikal Kebangsaan pada siri Jelajah LTdL 2023 peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer hari ini. Foto Bernama
Antara aksi pelumba Skuad Berbasikal Kebangsaan pada siri Jelajah LTdL 2023 peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KAPTEN skuad berbasikal kebangsaan, Muhammad Zawawi Azman mengakui beliau belum bersedia sepenuhnya apabila tidak berhasil membuka tirai saingan Peringkat Pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, dengan keputusan memberangsangkan, semalam.

Pelumba berusia 29 tahun yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-100 daripada 128 pelumba pada Peringkat Pertama Kerteh-Kuala Terengganu, berkata, beliau akan segera bangkit mencari rentak dalam mempamerkan kayuhan lebih bertenaga di peringkat seterusnya.

"Di Peringkat Pertama, semua pelumba masih mencari posisi. Sama juga seperti saya kerana sudah lama tidak berlumba.

"Saya akan 'perang' lagilah. Peringkat Kedua hampir sama seperti Peringkat Pertama iaitu saya tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk LTdL. Kalau boleh peringkat demi peringkat perlumbaan akan buat sebaik boleh," katanya ketika ditemui.

Zawawi merupakan bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) selepas pasukan itu dibubarkan pada Jun lepas, kini menjadi antara taruhan utama skuad berbasikal kebangsaan pada LTdL edisi ke-27.

Perlumbaan Peringkat Kedua dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2 kilometer (km) hari ini, membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri serta Peringat selain dua zon pendakian di Setiu dan Pelong. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!