Ayda Jebat, Nabil bakal timang anak lelaki
PASANGAN selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki untuk anak kedua mereka.
Berita gembira tersebut dikongsi menerusi pelancaran klip video dan lagu baharu Ayda, Be Mine pada Sabtu.
Tambahan, jantina bayi keduanya itu hanya diketahui oleh pengarah video muzik Be Mine, Rewan Ishak setelah menyerahkan sampul yang mengandungi maklumat jantina anak mereka kepada pengarah itu.
"Sebenarnya saya dan Nabil memang tak tahu jantina anak kedua kami. Hanya Rewan sahaja yang tahu.
“Sewaktu proses penggambaran dijalankan, Rewan membuat dua versi kejutan sama ada bayi kedua ini lelaki atau perempuan. Proses suntingan pun dia buat seorang diri.
"Jadi tayangan video muzik hari ini adalah satu kejutan buat kami sekali gus mengundang pelbagai emosi," jelas Ayda.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Ayda turut menyatakan tetamu yang hadir juga mengalirkan air mata sebaik sahaja pengumuman bayi lelaki itu dilakukan.
Pada masa sama, suaminya, Nabil sujud syukur sejurus mengetahui jantina anak keduanya yang dijangka lahir hujung tahun ini.
Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan menerima kelahiran anak sulung mereka, Ana Nayla pada 21 September 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!