'Saya tidak taja calon bebas' - Mohamad Zaini
BENTONG - Pemangku Ketua UMNO Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh menafikan menaja calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Beliau menegaskan tidak pernah berhubung atau mengadakan perbincangan dengan Haslihelmy mengenai tindakannya untuk menjadi calon Bebas.
Katanya, kenyataan calon Bebas itu jelas menjejaskan reputasinya, selain berniat jahat apabila mengaitkan dirinya selepas kononnya kecewa dengan keputusan kepimpinan UMNO dalam pemilihan calon mewakili Barisan Nasional (BN).
"Saya menegaskan bahawa saya tidak menaja beliau untuk bertanding sebagai calon Bebas di Pelangai ini. Saya harap pihak media dan juga pengundi di DUN Pelangai ini tidak terpengaruh dengan apa yang diperkatakan atau dicakapkan oleh calon Bebas ini.
"Tetapi kita (perlu) ingat bahawa calon Bebas ini telah pun mengambil borang pencalonan pada akhir Ogos lalu. Kalau tidak silap saya pada 29 Ogos, beliau (Haslihelmy) mengambil borang di SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) di Kuantan, dan sudah tentulah beliau tidak mengetahui sesiapa yang dinamakan oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam senarai enam orang ini," katanya dalam kenyataan menerusi satu rakaman video pada Ahad.
Pada Sabtu, Haslihelmy mendakwa tindakan bertanding di DUN Pelangai adalah sebagai tanda protes kerana pucuk pimpinan UMNO meletakkan calon kitar semula bagi kawasan terbabit.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) menyuarakan rasa kecewa ketika ditemui media dan mendakwa tidak akan bertanding sekiranya Mohamad Zaini menjadi calon.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, sekiranya pucuk pemimpin parti memilih dirinya untuk bertanding di kerusi DUN terbabit, kemungkinan alasan lain pula akan digunakan calon Bebas ini.
"Justeru saya merasakan bahawa calon Bebas ini mengaitkan nama saya adalah satu fitnah peribadi kepada diri saya dan parti (BN). Saya anggap (ini) fitnah jahat dan tidak munasabah," katanya.
Beliau mengakui tidak kecewa apabila parti memilih Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon bertanding di DUN ini.
"Saya telah pun bercakap berucap pada majlis tersebut bahawa saya selalu pemangku UMNO Bentong ingin memastikan bahawa pada PRK di Pelangai ini kita tidak boleh kalah,
"Kita tidak rela di Pelangai ini kalah. Saya berharap seluruh jentera di peringkat cawangan dan sokongan bahagian dari negeri angkat ini dapat memberi suntikan besar untuk memastikan Pelangai ini menjadi milik UMNO dan BN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!