Aktres AS mengaku bersalah skandal kemasukan universiti
NEW YORK - Aktres terkenal Amerika Syarikat (AS) Felicity Huffman mengaku bersalah membayar sejumlah wang suapan bagi membolehkan anak perempuannya menuntut di sebuah universiti berprestij.
Bekas pemegang watak Lynette Scavo dalam drama 'Desperate Housewives' itu antara selebriti yang terbabit dalam skandal kemasukan universiti melibatkan golongan kaya di AS.
Tampil di hadapan Hakim Persekutuan Indira Talwani di Boston semalam, Huffman dengan linangan air mata mengaku bersalah membayar AS$15,000 (RM 62,515) bagi menaikkan markah ujian kemasukan universiti (SAT) anak perempuannya.
Jenayah itu membawa hukuman 20 tahun penjara dan denda sehingga AS$250,000 (RM 1.04 juta) namun dengan mengaku bersalah Huffman berkemungkinan terlepas daripada hukuman terbabit.
Pendakwa persekutuan mengesyorkan tempoh percubaan selama setahun dan denda AS$20,000 (RM83,354) namun hakim boleh mengubah hukuman tersebut.
Pada bulan lalu, Huffman mengumumkan hasrat untuk mengaku bersalah kerana berasa malu dengan perbuatannya.
Sementara itu, Peguam AS untuk Massachusetts, Andrew Lelling berkata, hukuman dijadual dijatuhkan pada 13 September depan.
Antara 50 orang yang didakwa dalam skandal terbabit, 10 orang termasuk lima ibu bapa telah mengaku bersalah manakala 10 lagi ibu bapa dikatakan akan turut membuat pengakuan sama.
Skandal yang didalangi William 'Rick' Singer itu menyaksikan beberapa orang tertuduh membayar sehingga AS$400,000 (RM1.66 juta) bagi membolehkan anak mereka memasuki universiti pilihan masing-masing. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!