KPM sentiasa bersedia hadapi bencana banjir

Fadhlina (duduk dua dari kanan) bermesra dengan beberapa murid ketika merasmikan Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi di SK Sungai Acheh pada Ahad.
Fadhlina (duduk dua dari kanan) bermesra dengan beberapa murid ketika merasmikan Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi di SK Sungai Acheh pada Ahad.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi bencana banjir di seluruh negara khususnya menjelang musim tengkujuh ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, persediaan dalam menghadapi banjir bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) adalah tanggungjawab rutin kementerian bagi memastikan sebarang isu berbangkit dapat ditangani.

"Kita sentiasa bersedia kerana ini adalah tanggungjawab rutin kita dengan kerjasama Nadma. Jawatankuasa penyelaras juga sudah pun berbincang dan pusat pemantauan banjir di KPM juga telah bersedia.

"Kerjasama kita dengan Nadma ini adalah antara persediaan terbesar yang biasa kita buat, maknanya menuju ke musim tengkujuh dan persiapan-persiapan lain berkaitan dengan bencana banjir khususnya.

"Sekiranya ada apa-apa isu, maknanya kita telah pun menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah bersedia khususnya sekolah-sekolah kita," katanya selepas merasmikan Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh pada Ahad.

Pada malam Sabtu, jumlah mangsa banjir di Sabah dan Perak meningkat manakala di Sarawak kekal.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di Beaufort meningkat kepada 228 mangsa daripada 72 keluarga setakat 8 malam Sabtu berbanding 102 mangsa daripada 36 keluarga sehingga tengah hari Sabtu.

Sementara itu, di Perak, seramai 35 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas dari Kampung Matang Tengah dipindahkan manakala di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Limbang kekal 33 orang daripada tujuh keluarga setakat 7 malam.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Fadhlina menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan KPM bagi mewujudkan ekosistem yang selamat di institusi pendidikan.

"Mengenai cadangan jika guru mahu menghukum pelajar atau murid, perlu ada dua saksi. Sebenarnya kita ada garis panduan. Yang kita nak sekarang ini adalah patuhi garis panduan tersebut.

"Jadi kita sentiasa akan tegaskan semula dan kita mahu semua pihak memastikan garis panduan ini dipatuhi. Semalam kita sudah lancarkan dua garis panduan penting iaitu satu berkaitan kes buli dan kedua, gangguan seksual.

"Selepas ini, sesi libat urus akan diperhebatkan untuk memastikan isu-isu seperti ini dapat kita tangani dan khususnya memberikan kecaknaan bagaimana proses dan garis panduan itu perlu dipatuhi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!