Op HUU: 6,476 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 6,476 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua pada Sabtu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesalahan paling tinggi direkodkan adalah halangan lalu lintas dengan 4,816 saman dikeluarkan.
"Kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (134), tiada lesen memandu (124), melanggar lampu isyarat merah (46), ubah suai nombor pendaftaran (58) dan berhenti di petak kuning tiga saman," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sarifudin berkata, seramai 48 pegawai dan 657 anggota terbabit dalam operasi itu yang dijalankan di sekitar ibu negara.
"Sebanyak 12 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu, kita menahan lapan individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk mabuk dan menjalankan kegiatan parkir haram selain kes dadah," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi fasa kedua itu akan tertumpu di 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan terbabit bermula 15 hingga 29 September.
Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!